Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau kawasan perumahan Mentari Court susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PJS 8, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 JULAI 2021.

PETALING JAYA –  Kadar penerimaan vaksin dos kedua di Selangor kini mencecah 10 peratus, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, jika diambil kira orang dewasa yang berusia 18 tahun ke atas, Selangor kini dalam fasa memenuhi sasaran 10 peratus penduduk yang diberikan vaksin.

Malah katanya, sekiranya mengikut perkiraan itu, Selangor sudah boleh keluar daripada pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kalau diukur pada kadar orang dewasa, sebenarnya untuk dos pertama, Selangor sudah lama melepasi 10 peratus, kita sudah sampai 27 peratus sekarang.

“Kita hampir jejak 10 peratus di antara 8 hingga 9 peratus dalam dos kedua. Itu kalau diukur dengan kadar orang dewasa iaitu 18 tahun dan ke atas. Itu sasaran kita untuk capai 80 peratus.

“Kalau kita sudah sampai 10 peratus, ikut fasa pemulihan kita sudah boleh keluar atau keluar perlahan-lahan ikut fasa,” katanya pada sidang media selepas melawat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menteri Court, hari ini, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) semalam bahawa Selangor merupakan negeri yang mencatatkan jumlah terendah penduduk menerima dua dos vaksin Covid-19.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaludin berkata, Selangor dijangka dapat memberi 130,000 suntikan sehari pada bulan Julai dan jumlah vaksin Covid-19 yang dibekalkan ke negeri ini juga akan dipertingkat dengan kadar sewajarnya.

Amirudin berkata, Selangor adalah negeri ketiga selepas Kuala Lumpur dan Sarawak yang mempunyai kadar vaksinasi melebihi satu juta penerima, sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Untuk rekod, fasa dua PPN boleh dimasuki apabila sudah mencapai indikator purata kes harian Covid-19 di bawah 4,000 kes untuk tujuh hari berturut-turut serta hampir mencatatkan paras sederhana di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga ke arah mencapai kadar vaksinasi 10 peratus.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, negeri itu mampu mencapai kadar vaksinasi 135,000 sehari sebagai mana yang disasarkan Khairy.

Sehingga minggu lalu, Selangor telah meningkat jumlah vaksinasi kepada 53,000 sehari dan dengan adanya SELVAX beliau percaya ia dapat dipertingkatkan sehingga 135,000 sehari, ujarnya.

“Kenyataan Khairy yang beberapa minggu lepas saya rasa telah ditangani dengan kedua-dua pihak.

“Hari ini pun Setiausaha Kerajaan Negeri dan Exco Kesihatan, Dr Siti Mariah ada mesyuarat dengan CITF kebangsaan dan kita sedang perlihatkan bagaimana tambahan program Selvac, tambahan PH Corp dan juga tambahan dos untuk JKNS dapat mempercepatkan proses vaksinasi di peringkat Selangor.

“Saya rasa tugas kita antara kerajaan negeri dan Khairy adalah untuk kenal pasti dan mengisi kekosongan dan kelohongan yang ada untuk tangani Covid-19 ini dengan sempurna,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast