KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican bin Naina Merican di Istana Negara, hari ini. Turut hadir pada majlis menghadap pada jam 4.00 petang ini adalah YBhg. Tan Sri Mohamad Norza bin Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia dan YBhg. Dato’ Sri Megat D. Shahriman bin Dato’ Zaharuddin, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia. Pada sesi ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada YB Menteri Belia dan Sukan sebagai tanda simbolik penerimaan bagi pihak kedua-dua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020. (Gambar ihsan Istana Negara)

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kejayaan mereka melayakkan diri untuk bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia itu.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan agar atlet dan pegawai sentiasa berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di kedua-dua temasya yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos bagi Sukan Olimpik dan 24 Ogos hingga 5 Sept bagi Sukan Paralimpik.

“Seri Paduka menyeru seluruh rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga atlet-atlet negara mencapai sasaran yang telah ditetapkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” demikian menurut hantaran itu.

Menerusi hantaran sama, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara hari ini.

Pada sesi menghadap itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Reezal Merican sebagai tanda simbolik penerimaan bagi pihak kontinjen negara yang akan bertanding di kedua-dua temasya.

Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin.

Pada sesi sama, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan kontinjen negara di kedua-dua temasya tersebut.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast