Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai mengambil keterangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, polis telah selesai merakam percakapan Ahli Parlimen Jeli itu minggu lalu.

“Untuk makluman, polis yang siasat kes ini sudah mengambil kenyataan percakapan daripada YB Menteri (Mustapa Mohamed).. selesai pada minggu lepas.

“Kini polis dalam proses untuk mengemaskini kertas siasatan berkenaan untuk dilengkapkan sepenuhnya,”katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette pagi ini.

Abd Jalil bagaimanapun tidak memperincikan butiran tarikh dan masa keterangan dirakam daripada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

BACA:  Dakwa langgar SOP kerana singgah kafe, Tok Pa akur siasatan polis

Tambah beliau, kertas siasatan yang sedang dilengkapkan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut.

Baru-baru ini, gambar Mustapa bersama beberapa individu yang sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Jeli tular dalam media sosial.

Mustapa mengaku berada di restoran Alfath Café, Kampung Kalai, Jeli pada 26 Jun lalu dan memohon maaf atas perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan sewajarnya.

Polis Daerah Jeli berkata, Mustapa dan pemilik Cafe serta beberapa individu lain akan dipanggil untuk dirakam keterangan.

Dalam perkembangan lain, Abd. Jalil turut mengesahkan polis telah menetapkan masa untuk merakam keterangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang didakwa melanggar SOP PKP  dengan menyertai kenduri durian di sebuah kebun di Batu Pahat.

Kejadian itu juga tular di media sosial baru-baru ini.

Katanya, kertas siasatan kes itu telah dibuka oleh Polis Daerah Batu Pahat dan Ahli Parlimen Batu Pahat itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan  bagi membantu siasatan.

“Kes ini pun kertas siasatan sudah dibuka dan sedang disiasat..kita sudah aturkan untuk mengambil kenyataan daripada YB ini (Rashid Hasnon),” katanya secara ringkas.

Ditanya sama ada pemimpin berkenaan akan dipanggil dalam minggu ini untuk merekodkan kenyataannya, Abd Jalil bagaimanapun menjelaskan pihaknya akan cuba menyelesaikan proses itu secepat mungkin. – MalaysiaGazette