Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kerajaan akan membuka lebih 30 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar di seluruh negara.

Katanya, sasaran itu akan dapat direalisasikan pada pertengahan bulan ini untuk mengoptimumkan pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negara.

“ProtectHealth bersama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan KKM akan membuka lebih daripada 30 PPV Integrasi berskala besar seluruh negara sebelum 19 Julai 2021.

“KKM telah mensasarkan supaya ProtectHealth untuk meningkatkan peratus vaksinasi ke 60 peratus daripada keseluruhan sasaran dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk dicapai sebelum akhir bulan Ogos 2021,” katanya dalam sidang media secara maya pelancaran Laporan PEKA B40 bagi tahun 2019-2020, hari ini.

Jelas Adham, sebanyak 1,230 PPV telah diwujudkan di bawah ProtectHealth sehingga kini yang telah menyumbang kepada 162,822 dos setiap hari.

Sebanyak 138 PPV dibuka di Johor, Kedah (43), Kelantan (25), Kuala Lumpur (154), Labuan (1), Melaka (37), Negeri Sembilan (39), Pulau Pinang (43), Pahang (38), Perak (6), Perlis (6), Sabah (24), Sarawak (81), Selangor (318), Terengganu (17) dan Putrajaya (4).

Mengulas lanjut, Adham berkata, program itu telah melebihi jumlah vaksinasi yang disasarkan iaitu 30 peratus daripada jumlah sasaran PICK sebanyak 46 peratus setakat ini.

“Bagi sasaran kapasiti dos harian, ProtectHealth telah mencatatkan melebihi sasaran 80,000 dos sehari sebelum Jun. ProtectHealth telah mencapai 110,000 dos pada akhir bulan Jun,” kata Adham.

Ditanya mengenai kadar penggunakan katil wad pesakit Covid-19, Adham berkata, setakat 1 Julai lalu, kadar penggunaan katil adalah pada paras 1,277 dengan 129 daripadanya adalah bagi penggunaan wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Dengan adanya Ordinan Darurat ini, kita dapat membuat kerjasama dengan hospital swasta terutamanya di kawasan bandar. Kita telah ada 124 hospital swasta yang menyediakan 2,400 katil setakat ini untuk merawat kes Covid-19.

“SEbanyak 129 katil di ICU, bagaimanapun kerjasama yang selain untuk merawat kes Covid-19, kita salurkan kes bukan Covid-19 di hospital swasta yang mana ia adalah kes melibatkan kritikal dan perlu dirawat segera kerana dengan adanya situasi Covid-19 yang meningkat satu ketika dahulu lebih banyak kes Covid-19 peringkat empat dan lima boleh dirawat di hospital awam dan kes tidak berkaitan Covid-19 boleh dialihkan ke hospital swasta,” katanya. – MalaysiaGazette