Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara

KITA pernah hampir menang melawan COVID-19 apabila Malaysia mencatatkan angka satu kes jangkitan COVID-19 pada 1 Julai tahun lalu dan pada hari berikutnya sebanyak tiga kes sahaja. Tetapi itu kisah tahun 2020, jika dibandingkan pula kumulatif kes jangkitan untuk dua hari pertama Julai 2021 yang hampir ke 13,970 kes, memang ada kewajaran mengapa rakyat berasa resah dan gusar. Reaksi rakyat tidak boleh disembunyikan, di media sosial menjadi medan mereka melempiaskan rasa kemarahan dan tidak puas hati mereka jika tidak kepada pihak Kerajaan.

Pada anggapan mereka, keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini sebagai gagal, angka jangkitan masih ‘pi mai pi mai tang tu’ seperti sebelum pelaksanaan PKP. Tidak boleh disembunyikan bahawa rakyat agak emosional dan amat sensitif dengan sebarang tindakan Kerajaan.

Tetapi kita bukannya memiliki sebuah kerajaan yang menutup mata dan telinga rapat-rapat terhadap keluh kesah rakyat. Kerajaan menyedari kehidupan rakyat semakin tersepit dan kerana itulah Perdana Menteri amat prihatin dan mengumumkan pakej bantuan baharu untuk rakyat yang lebih inklusif untuk semua golongan yang terkesan.

Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) merupakan bantuan kecemasan terkini Kerajaan sediakan untuk rakyat selepas melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan RM380 bilion sebelum ini.

PEMULIH dengan nilai keseluruhan berjumlah RM150 bilion ibarat tali penyelamat yang dinanti kerana di dalam selain mengandungi bantuan kewangan tunai untuk rakyat, pelaksanaan i-Citra melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium automatik dari institusi perbankan umpama bulan jatuh ke riba kerana ini adalah sumber kewangan alternatif rakyat harapkan untuk menambahkan lagi duit poket mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Selepas pengumuman PEMULIH, reaksi rakyat dilihat sedikit lega kerana sudah dapat melihat bentuk bantuan yang bakal diterima dalam sedikit masa lagi untuk meringankan tekanan kewangan semasa. Keputusan terkini kerajaan membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut negeri juga menambahkan kelegaan di hati rakyat. Mulai Isnin, lima buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis yang memenuhi kriteria semua nilai ambang telah mula beralih ke fasa dua PPN.

Perubahan fasa ini secara langsung memberi sedikit keistimewaan untuk dinikmati negeri berkenaan walaupun pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan antaranya kebenaran beroperasi untuk sektor perdagangan seperti kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, cuci kenderaan serta perkhidmatan gunting rambut. Selain itu di bawah fasa dua, kapasiti pekerja sektor swasta dan perkhidmatan perlu akan dinaikkan kepada 80 peratus dengan pihak majikan perlu memastikan penjarakan fizikal dan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi penulis ini merupakan satu bentuk insentif yang baik kepada negeri-negeri yang menunjukkan kemajuan yang positif dalam mengekang kes jangkitan Covid-19 dan pada masa sama menggalakkan negeri lain untuk turut sama ‘bekerja keras’ membendung pandemik ini. Dengan strategi terkini kerajaan menetapkan peralihan fasa mengikut nilai ambang negeri, penulis merasakan mungkin ada negeri-negeri yang berjaya memasuki fasa keempat PPN lebih awal sebelum akhir tahun ini.

Pendekatan terkini yang penulis sifatkan lebih pragmatik dan adil ini secara langsung menunjukkan kerajaan sentiasa terbuka mendengar dan menimbangkan semua pandangan yang diterima. Sebelum ini, beberapa pakar kesihatan awam dan pakar ekonomi menggesa Kerajaan untuk supaya menyemak kembali pendekatan PPN dengan menggunakan strategi intervensi berasaskan sempadan negeri, daerah, mukim atau zon.

Mohd Zaini Othman merupakan Timbalan Pengarah di Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi.