Selepas tertangguh setahun, UEFA Euro 2020 kini sudah tiba ke saingan separuh akhir, kancah merebut kejuaraan penuh insiden dan kejutan serta pasti mendebarkan lagi peminat sukan bola sepak itu.

KUALA LUMPUR – Selepas tertangguh setahun, UEFA Euro 2020 kini sudah tiba ke saingan separuh akhir, kancah merebut kejuaraan penuh insiden dan kejutan serta pasti mendebarkan lagi peminat sukan bola sepak itu.

Peminat pasti tidak lupa bagaimana pemain Denmark, Christian Eriksen, 29, tiba-tiba pengsan ketika aksi menentang Finland pada 12 Jun akibat diserang penyakit jantung. Ketika paramedik bergelut memulihkannya, ribuan penonton di stadium hanya mampu berdoa.

Bukan itu saja, kejuaraan tersebut setakat ini juga menyaksikan 10 gol sendiri. Pasukan ternama seperti Belgium, Belanda, Jerman dan Perancis ditunjukkan pintu keluar oleh Ukraine, Switzerland, Republik Czech dan Denmark di suku akhir.

Kehangatan saingan semakin mendaki puncak dengan perlawanan separuh akhir antara Sepanyol menentang Itali dan England berdepan Denmark, dijadual disiarkan secara langsung pada 3 pagi waktu Malaysia, Rabu dan Khamis ini.

Kemuncak saingan akhir dijadualkan pada Ahad (11 Julai) yang bakal berlangsung di Stadium Wembley, England.

Bola itu bulat dan sukar diramal. Bagi Nicholas John, 39, beliau tidak menjangka empat pasukan berkenaan mampu melangkah ke saingan EURO edisi kali ini.

“Itali menentang England. Saya rasa mereka lebih layak bersaingan di peringkat akhir. Sudah pasti kedua-dua perlawanan separuh akhir itu akan sengit, tetapi saya boleh bayangkan betapa England pasti amat kecewa andai mereka tidak mampu menjinakkan Denmark,” katanya kepada Bernama menerusi Whatsapp hari ini.

Meskipun tiada pemain tertentu yang benar-benar menonjol dalam kejuaraan kali ini, beliau percaya aksi separuh akhir itu pasti menghiburkan peminat.

“Tiada siapa yang boleh berkata bahawa mereka memang meramalkan Denmark mara ke separuh akhir terutama selepas kehilangan khidmat Christian Eriksen pada awal saingan.

“Tiga lagi pasukan adalah dari negara kuasa besar bola sepak, jadi tiada kejutan besar. Kita lihat pasukan Itali kali ini turun dengan aksi berbeza daripada apa yang dipamerkan sebelum ini. Mengejutkan juga apabila melihat mereka kali ini tampil dengan aksi menyerang, dan pastinya, ia perlawanan yang amat menghiburkan untuk ditonton.

“Sepanyol pula memang satu yang mengejutkan kerana mereka turun dengan khidmat pemain yang begitu muda serta kehadiran muka baharu. Bukan pemain biasa yang sudah terkenal,” katanya.

Turut meluahkan perkara sama, Eksekutif syarikat swasta di Kuala Lumpur, Muhammad Yusuf Muhammad, 29, berkata beliau meramalkan saingan akhir akan membabitkan Itali dan Jerman.

Beliau benar-benar yakin terhadap slogan England pada kejuaraan kali ni “It’s Coming Home’, pasti mampu membakar semangat pemain untuk merebut tempat ke perlawanan akhir.

“Pasukan ini dibarisi ramai pemain muda dan mereka adalah bakat baharu. Mereka pasti mampu menangkis segala rintangan dan turun dengan penuh semangat untuk menjulang piala di tanah air sendiri. Keyakinan mereka amat tinggi ketika ini,” kata Yusuf.

Beliau turut melihat aspek taktikal dan kemahiran pemain dalam pasukan Itali dan England sebagai peluang keemasan untuk membolot kejuaraan.

“Setiap negara mempunyai kitaran pemain mereka sendiri. Selepas lapan hingga 10 tahun, akan muncul generasi pemain baharu.

“Daripada edisi Euro 2020 ini, kita boleh melihat generasi mana yang tersungkur (Jerman, Belgium) dan mana yang maju (England, Itali). Jadi kita dapat tahu pasukan mana yang merombak skuad mereka untuk kejohanan kali ini,” katanya.

Bagaimanapun, ketika memburu tiket ke perlawanan akhir, Nicholas dan Yusuf tidak mahu memandang rendah kemampuan pasukan bukan pilihan, Denmark yang mungkin mampu melakar kejutan selepas momentum yang dipersembahkan mereka kali ini.

“Tetapi jika pada pandangan peminat neutral, kemampuan Denmark ke final atau muncul juara adalah suatu kejutan besar yang sukar dipercayai,” kata Nicholas.

Terdahulu, agensi berita Anadolu, melaporkan Itali dan Sepanyol berdepan untuk kali keempat berturut-turut dalam kancah Euro manakala England akan menerima kunjungan Denmark dalam aksi separuh akhir pertama mereka sejak 1996.

Itali menumpaskan Austria 2-1 pada aksi 16 pasukan terakhir sebelum menjinakkan Belgium 2-1 di suku akhir. Sepanyol pula mara ke separuh akhir selepas membenam Croatia (5-3) dan Switzerland (3-1), kedua-dua aksi saingan kalah mati dan suku akhir ditentukan menerusi sepakan penalti.

England pula gah melangkah ke separuh akhir tanpa gawangnya dibolosi, selepas mengaibkan Ukraine 4-0 dan menundukkan Jerman 2-0 di peringkat kumpulan.

Juara EURO 1992, Denmark pula pastinya mahu terus melangkah bagi menempah tempat ke final buat kali kedua untuk mereka.

Mereka menempah tiket ke separuh akhir selepas menang mudah ke atas Wales 4-0 sebelum berjaya mengatasi Republik Czech 2-1 di suku akhir.- BERNAMA