Kita sering mendengar ada dalam kalangan kenalan kita tidak dapat ke luar negara kerana nama mereka telah disenarai hitamkan oleh pihak berkuasa. Kita juga pasti ada membaca di dada akhbar mahupun media sosial, bagaimana sesuatu pihak boleh diheret ke mahkamah dan akhirnya dikenakan tindakan muflis atau penggulungan lantaran gagal membayar hutang mereka. Ini hanyalah sebahagian daripada akibat yang perlu ditanggung oleh seseorang apabila mereka mempunyai tunggakkan hutang, tidak terkecuali juga hutang kepada pihak Kerajaan.

Hutang kepada Kerajaan? Ya! Hutang kepada Kerajaan. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa apabila kita gagal melunaskan cukai pendapatan kita, ia merupakan hutang kepada Kerajaan! Sekali gus ia juga merupakan hutang kepada negara. Wow, serius betul bunyinya. Memang serius kerana kegagalan kita menjelaskan cukai akan menyebabkan hasil negara terjejas dan pastinya pelbagai program pembangunan serta kebajikan rakyat yang dirancang oleh Kerajaan tergendala.

Lalu persoalannya, bagaimanakah tunggakan cukai boleh wujud? Bagaimana pula kita dapat mengelakkan diri daripada mempunyai tunggakan cukai? Apakah yang kita perlu lakukan sekiranya cukai kita tertunggak? Mari kita kupas persoalan-persoalan ini satu persatu.

Bagaimanakah tunggakan cukai boleh wujud?

Tunggakan cukai ini wujud apabila kita gagal membayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) amaun cukai yang dikenakan terhadap kita dalam tempoh yang sepatutnya. Seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, bagi individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan yakni yang makan gaji sahaja, mereka perlu melunaskan cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun. Manakala bagi individu yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun. Sementara itu, bagi syarikat pula mereka wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh (7) bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat.

Boleh jadi kegagalan melunaskan amaun cukai ini disebabkan oleh kita terlupa atau tidak mampu untuk membayarnya secara sekaligus; dan mungkin juga sememangnya kita sengaja mengabaikan kewajipan kita untuk membuat bayaran cukai tersebut. Kesukaran untuk hadir ke kaunter Pusat Bayaran LHDNM bagi membuat bayaran cukai juga tidak boleh dijadikan alasan memandangkan pelbagai platform bayaran telah disediakan oleh LHDNM untuk pembayaran cukai termasuklah melalui Mesin Deposit Tunai (Auto Teller Machine), Mesin Deposit Cek (Cheque Deposit Machine), secara dalam talian di Portal ByrHASiL atau portal perbankan internet dengan mana-mana bank yang menyertai FPX menggunakan Kad Debit dan Kad Kredit yang dikeluarkan di Malaysia.

Apa pun dalihnya, kesan yang terpaksa ditanggung sekiranya kita mempunyai tunggakan cukai ialah amaun cukai kita akan bertambah kerana LHDNM akan mengenakan kenaikan cukai atas kelewatan melunaskan amaun cukai tersebut. Kenaikan cukai seumpama penalti yang dikenakan pula bukan sedikit di mana menurut peruntukan Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan sebanyak 10% daripada amaun baki cukai yang masih belum dijelaskan boleh dikenakan akibat kegagalan kita mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Bayangkan, tanggungan cukai kita boleh meningkat sebanyak RM100.00 menjadi RM1,100.00 sedangkan amaun cukai yang asal dan perlu kita jelaskan kepada LHDNM ialah RM1,000.00 sahaja. Keadaan ini bukan sahaja tidak sepatutnya berlaku, malah ia juga turut merugikan kita. Namun tiada pihak yang patut kita persalahkan selain daripada diri kita sendiri kerana kita cuai dan mengambil sikap sambil lewa dalam menguruskan hal ehwal percukaian kita.

Bagaimana untuk mengelakkan diri daripada mempunyai tunggakan cukai dan apakah yang kita perlu lakukan jika kita ada cukai tertunggak?

Sebenarnya, jika kita benar-benar peka, ambil tahu dan tidak ambil remeh tentang cukai, hal tunggakan cukai sehingga kita dikenakan tindakan undang-undang ini tidak akan terjadi. Apa yang kita perlu lakukan ialah cakna dengan segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Pelbagai maklumat berkaitan dengan cukai pendapatan ada dimuatkan dalam portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my untuk rujukan; malah kita juga sentiasa boleh bertanya dan mendapatkan penjelasan serta khidmat nasihat melalui pegawai perhubungan pelanggan yang telah dilantik oleh LHDNM dengan cara menghubungi mereka di talian 03-89111000 atau 603-89111100 bagi panggilan dari luar negara.

Seandainya talian khidmat pelanggan LHDNM ini terlalu sibuk, kita masih lagi mempunyai pilihan untuk menghubungi pegawai-pegawai yang telah diberikan tanggungjawab di mana nombor-nombor telefon bimbit rasmi mereka ada disiarkan dalam portal rasmi LHDNM. Selain itu, pelbagai saluran komunikasi lain seperti Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram dan Borang Maklum Balas Pelanggan turut disediakan oleh LHDNM untuk kita manfaatkan.

Mengikut pengalaman penulis, LHDNM sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan jika kita tidak mampu membayar amaun cukai secara sekali gus. Bagi mereka kaedah bayaran secara ansuran masih boleh dipertimbangkan, namun ia hendaklah mendapat kelulusan LHDNM terlebih dahulu. Maknanya, kita tidak boleh mengambil keputusan sendiri dengan membuat bayaran amaun cukai kita sedikit demi sedikit tanpa persetujuan LHDNM.

Bagi tujuan ini biasanya kita dikehendaki menyediakan dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan kita dan bilangan ansuran yang ingin kita cadangkan. Bukan setakat ansuran sahaja boleh dibincangkan, malah kita juga boleh membuat rayuan atas kenaikan cukai yang dikenakan terhadap kita dan rayuan akan dipertimbangkan oleh LHDNM berdasarkan kepada merit setiap kes. Jadi, tiada lagi alasan untuk kita tidak menghubungi LHDNM dan melakukan perbincangan dengan mereka berkenaan bayaran cukai kita.

Sehubungan itu, sentiasalah cakna dengan kedudukan cukai semasa kita. Buatlah semakan dengan LHDNM sekerap mungkin bagi mengelakkan kita terbeban dengan cukai tertunggak. Tambahan pula kini LHDNM telah menyediakan kaedah semakan yang mudah iaitu melalui aplikasi MyTax yang boleh dibuat secara dalam talian dan di hujung jari sahaja. MyTax bukan sahaja satu aplikasi yang membolehkan kita membuat semakan cukai, malah lebih daripada itu MyTax juga merupakan one stop centre bagi pembayar cukai untuk mengisytiharkan cukai mereka dan mendapatkan informasi cukai yang terkini.


Contoh Tangkap layar paparan aplikasi MyTax yang membolehkan kita membuat semakan kedudukan terkini cukai pendapatan.

Kesimpulannya, tunggakan cukai tidak akan berlaku seandainya kita sentiasa ambil peduli tentang hal ehwal percukaian kita. Jangan bimbang untuk berbincang dengan LHDNM seandainya kita tidak mampu menjelaskan semua cukai kita dengan segera, sebaliknya hubungilah LHDNM dan ambil inisiatif untuk berbincang kaedah ansuran yang terbaik. Ingatlah bahawa setiap sen cukai yang kita bayar akan digunakan oleh Kerajaan untuk manfaat segenap lapisan rakyat. Melalui duit cukai ini pelbagai infrastruktur, program pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan.

Rakyat Malaysia ini bertuah, kerana dengan adanya cukai, Kerajaan mampu menyediakan berbilion-bilion ringgit dana terutamanya dalam zaman pandemik COVID-19 ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela. Maka tidak keterlaluan jika kita mengiktiraf pembayar cukai juga adalah wira dan ejen pembangunan negara!

Kamil Darwisy