Penduduk, Ahmad Sabri Alin dan isterinya, Latipah Zokafli bersama-sama anaknya yang mengikuti pembelajaran atas talian di rumah mereka di Petaling Perdana, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Akibat kurang berkemampuan, enam beradik terpaksa berkongsi dua peranti elektronik bagi mengikuti kelas secara dalam talian sejak tahun lalu.

Situasi itu dikongsikan ibu mereka, Latipah Zolkafli, 45, yang mengakui berdepan pelbagai cabaran sejak kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan.

Malah Latipah sudah lali ditegur oleh guru-guru apabila anaknya sering lambat mengikuti kelas online atau pun tidak berpeluang menghadirinya pada hari tersebut.

Temubual bersama penduduk, Latipah Zokafli
mengenai kesusahan daripada kesan pandemik Covid-19 di Petaling Perdana, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2021.

“Bila Perintah Kawalan Pergerakan ini dilanjutkan jadi semakin susah kerana anak-anak perlu ikuti kelas online tapi kita pula tak mampu nak sediakan kelengkapan gajet yang sempurna untuk kegunaan mereka.

“Mereka terpaksa berkongsi dengan adik-beradik, kita sebagai ibu kena fikir siapa yang paling perlu seperti kakaknya yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia jadi yang lain kena mengalah.

“Kadang-kadang guru mereka ada yang marah tapi apa boleh buat kerana ini antara kekangan yang kami hadapi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pangsapuri Petaling Perdana di sini hari ini.

Penduduk, Ahmad Sabri Alin dan isterinya, Latipah Zokafli
bersama-sama anaknya yang mengikuti pembelajaran atas talian di rumah mereka di Petaling Perdana, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2021.

Bercerita lanjut, Latipah sering berpesan kepada anak-anaknya supaya terus bersabar dengan dugaan yang dialami ketika ini.

Jelasnya, kadang kala ada antara anak-anaknya merajuk dan rasa tersisih kerana tidak dapat mengikuti kelas secara online seperti rakan-rakan mereka yang lain.

Latipah mempunyai lapan orang anak yang berusia antara 20 tahun, 17, 15, 13, 11, 8, 5 dan bayi berusia empat bulan.

Latipah berkata, dia dan suami, Ahmad Sabri Alin, 47, tidak berkemampuan untuk menyediakan sebuah telefon bimbit atau tablet bagi keenam-enam anak mereka yang sedang bersekolah.

“Kadang-kadang saya pun berasa tertekan dengan keadaan ketika ini, nak menjerit pun ada untuk melepaskan perasaan yang terpendam tapi saya kena banyak bersabar.

“Kemudian bila fikir semula duit dalam tangan pun tak banyak, kena gunakan secara berhemah, memang tertekanlah.

“Gajet yang ada pun bila guna perlu tambah nilai, kalau tidak memang tidak boleh guna, itu pun satu masalah juga. Susah juga kelas online ini buat kami sebagai ibu bapa yang tak dapat penuhi semua itu,” ujarnya.

Tambah Latipah, sebuah tablet dan komputer riba yang digunakan oleh anak-anaknya adalah peranti elektronik yang diberikan secara pinjaman oleh pihak sekolah dan sumbangan dari sebuah yayasan.

Kata Latipah lagi, mereka sekeluarga hanya bergantung harap dengan suami yang bekerja di sebuah syarikat kurier dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan.

Sebelum ini, Ahmad Sabri merupakan pemandu van sekolah namun terpaksa berhenti akibat Covid-19 yang melanda negara.

“Bila duduk di rumah, duit air naik, bil api pun melambung dengan keadaan keadaan rumah yang sempit dan anak ramai jadi suasana tak tenang, anak-anak pun beremosi.

“Ada hari saya boleh kawal, ada hari tidak itu yang saya sedih. Anak-anak pula rasa tension. Bila dah hujung bulan pula terfikir apa lagi yang boleh dimasak untuk anak-anak.

“Saya ajar mereka apa yang ada kita makan, sebelum ini mereka pun dah biasa makan nasi satu hari sekali. Anak dah tak kisah kerana mereka sudah terbiasa,” katanya.

Ujar Latipah, sepanjang musim pandemik Covid-19 mereka hanya bergantung dengan wang pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta beberapa bentuk bantuan lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sebarang sumbangan kepada keluarga tersebut boleh menyalurkannya ke akaun Maybank milik Latipah iaitu 162290042090 atau menghubungi di talian 017-6935835. – MalaysiaGazette