KUALA LUMPUR – Angka kematian akibat Covid-19 kembali turun dua angka kepada 91 kes hari ini selepas merekodkan 103 korban semalam.
Ia sekaligus menyaksikan kumulatif kematian dalam negara setakat ini adalah sebanyak 5,768 kes.
Daripada jumlah itu, sebanyak 47 kes kematian dilaporkan di Selangor diikuti 16 kes di Negeri Sembilan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, sebanyak 10 kes di Kuala Lumpur dan masing-masing empat empat kes di Johor dan Melaka manakala tiga di Sarawak, dua di Perak serta masing-masing satu kes di Kelantan, Terengganu, Pahang, Labuan dan Kedah.
“Daripada 91 mangsa yang terkorban hari ini, 79 orang adalah warga tempatan manakala 12 lagi adalah warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru Dr. Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu dua mangsa wanita tempatan berusia 98 tahun berasal dari Selangor dan Negeri Sembilan merupakan mangsa tertua dalam senarai angka terkorban hari ini di Hospital Jelebu dan Hospital Banting.
Manakala mangsa korban Covid-19 termuda seorang lelaki dan wanita obesiti yang masing-masing berusia 25 tahun dan berasal dari Selangor dan Johor meninggal dunia di Hospital Serdang dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor.
Justeru, seramai 40 mangsa daripada 91 yang meninggal dunia adalah wanita dan selebihnya lelaki sementara 19 orang dalam lingkungan usia bawah 50 tahun dan selebihnya berusia 50 hingga 98 tahun.- MalaysiaGazette















