PENULARAN Covid-19 menyebabkan situasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak
menentu serta akses kepada sumber ilmu juga terkesan. Di peringkat pengajian tinggi,
sumber rujukan penting untuk mahasiswa menyiapkan tugasan selain PdP.

Justeru, Perpustakaan Tuanku Bainun(PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) proaktif membangunkan Pustaka Knowledge Portal (Pustaka) bertujuan membolehkan mahasiswa mengakses bahan-bahan yang terdapat di perpustakaan tanpa mengira masa dan juga di mana anda berada.

Berucap melancarkan Pustaka Knowledge Portal (Pustaka) yang dibangunkan sepenuhnya oleh kakitangan PTB, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata Pustaka memuatkan lebih daripada 3 juta bahan digital sama ada dalam bentuk buku, makalah, jurnal dan sebagainya yang boleh diakses di mana mana sahaja anda berada dan juga pada bila-bila masa.

Beliau berkata, mahasiswa berada di kampung halaman masing-masing dan
perpustakaan terpaksa ditutup, malah mahasiswa dan masyarakat tidak boleh bergerak
dengan bebas dan akibatnya berlaku sedikit gangguan terhadap proses pemerolehan
bahan.

“Ia boleh diakses secara menggunakan peranti mobile ataupun komputer. Jadi, jom
sama-sama kita gunakan kemudahan yang ada ini untuk tingkatkan lagi situasi pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya menjadikan masyarakat Malaysia sebagai
masyarakat berilmu,” katanya.

Menurut beliau, bermula tahun 2002, PTB mula mengorak langkah menggunakan sistem
perpustakaan bersepadu ke arah mendigitalkan perkhidmatan.

Pemangku Ketua Pustakawan, Noriha berkata, PTB kini mengorak langkah dalam era
pemodenan perkhidmatan atas talian dengan pengenalan portal baharu yang memberi
penekanan dengan  meletakkan sumber bahan terus di muka hadapannya.

“Jika dahulu, pengguna perlu log masuk ke dalam beberapa portal berasingan untuk
menggunakan sumber-sumber yang dilanggan oleh pihak perpustakaan seperti
pangkalan data dalam  talian, namun kini dengan kemudahan single-sign-on pengguna
tidak lagi perlu berbuat demikian, ‘ katanya.

Pengguna, katanya, dipersembahkan dengan mekanisma log masuk sekali sahaja untuk
mengakses jutaan bahan bacaan dalam talian di samping akses kepada metadata bahan
fizikal yang terdapat  dalam simpanan PTB.

Selain daripada itu, antaramuka carian bahan perpustakaan kini juga jauh
lebih mudah apabila hasil carian turut menunjukkan lokasi di rak spesifik sesuatu bahan
itu ditempatkan.

“Fungsi ini turut dinantikan oleh pengguna perpustakaan kerana mereka tidak lagi perlu
berlegar-legar antara rak untuk mencari bahan yang diperlukan,” katanya,” tambahnya.

Portal baharu itu juga mempunyai antara muka yang responsif iaitu ia akan mengikut
saiz skrin peranti yang digunakan untuk mengakses portal berkenaan seterusnya
memberikan pengalaman interaksi terbaik antara pengguna dan setiap elemen pada skrin
mereka.

Menurut Noriha penggunaan portal baharu itu dijangka melonjakkan indeks kepuasan
pengguna berikutan memudahkan banyak interaksi yang sebelum ini lebih rumit.

“Dengan lebih daripada 350,000 naskah bahan fizikal dan 4 juta bahan elektronik, portal
baharu ini diharapkan dapat memberikan pengguna PTB bahan yang mereka perlukan
dengan sistematik,” ujarnya. – MalaysiaGazette