Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan beramah mesra bersama penerima vaksin ketika melawat program vaksinasi COVID-19 ketika di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti UCSI, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengalu-alukan semua peminjamnya yang memilih untuk membuat bayaran meskipun dalam tempoh moratorium.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan  tidak menafikan walaupun semua peminjam diberikan kemudahan itu namun masih ada yang membuat bayaran seperti biasa.

“Sebenarnya ramai peminjam yang memilih untuk membuat bayaran walaupun dalam tempoh moratorium. Sekiranya ada yang merasakan dia nak teruskan bayaran, jadi kita tak menghalang usaha tersebut.

“Kita alu-alukan, moratorium ini satu kemudahan yang diberikan oleh peringkat kerajaan kepada peminjam kita,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti UCSI, Cheras hari ini.

Menurut Wan Saiful, setiap bulan PTPTN akan mengutip bayaran kira-kira RM200 juta namun terdapat bayaran dibuat peminjam ketika tempoh moratorium pada Mac lalu.

Mengikut data tiga bulan lepas, jumlah kutipan bayaran balik yang berjaya dikutip adalah sekitar 100 juta hingga 200 juta setiap bulan sepanjang tempoh moratorium.

“Tapi ia berubah-ubah setiap bulan dan ia sepenuhnya secara sukarela,” katanya lagi. – MalaysiaGazette