Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Deputy Prime Minister National Recovery Plan Phase 2 PPN Malaysia Covid-19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan sebuah hospital medan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi menyokong perkhidmatan kesihatan di Selangor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan berkenaan telah dibawa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika membentangkan situasi semasa Covid-19 di Selangor pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang tadi.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan purata kes harian di negeri Selangor dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini menunjukkan trend peningkatan secara mendadak dengan jumlah kluster yang semakin meningkat.

“Berdasarkan situasi ini, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan satu lagi hospital medan di HTAR Klang bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di negeri Selangor,” katanya yang juga Menteri Pertahanan menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, ATM juga memberi jaminan sentiasa komited dan bersiap-siaga jika terdapat keperluan untuk membina hospital medan di negeri  yang memerlukan khidmat sokongan kesihatan.

Sementara itu, beliau memberitahu, pada mesyuarat itu, kerajaan turut bersetuju untuk mewujudkan hospital medan ATM di Melaka.

“ATM akan berbincang dengan lebih lanjut bersama KKM mengenai keputusan ini untuk memperincikan semua keperluan bagi menentukan pembukaan hospital medan ATM di negeri ini dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette