Sergio Ramos.

PARIS – Sergio Ramos akhirnya diumumkan sebagai pemain Paris Saint Germain (PSG) selepas berlaku kesilapan teknikal semalam.

Ini kerana PSG terpaksa menurunkan semula artikel pengumuman Ramos berikutan pemain itu masih belum rasmi menandatangani kontrak.

Namun hari ini Ramos sah bergelar pemain PSG dan akan memakai jersi nombor 4.

Pengumuman rasmi dan video khas dimuat naik di platform rasmi PSG.

Ramos menyertai PSG secara percuma selepas gagal memeterai kontrak baharu dengan Real Madrid walaupun dia masih mahu terus kekal bersama kelab itu.

Ini kerana Real hanya menawarkan kontrak setahun kepada Ramos sedangkan pemain itu meminta kontrak dua tahun.

Real terpaksa berkeras dengan polisi kontrak selama setahun untuk pemain berusia lebih 30 tahun.

Selepas mempertimbangkan untuk menerima kontrak setahun itu, Ramos diberitahu, tarikh rundingan telah tamat

Dia terkejut dengan perkara tersebut walaupun sudah sedia menerima kontrak setahun dan pengurangan gaji.

Sebelum ini, Ramos merupakan pemain pertahanan yang menjadi rebutan banyak kelab termasuk dikaitkan dengan Manchester United, Manchester City dan Chelsea.

Ramos merupakan pemain kedua datang ke PSG secara percuma selepas Gini Wijnaldum yang menyertai kelab itu dari Liverpool sebagai ejen bebas.

Ramos menyertai Real dari Sevilla dengan harga 27 juta euro pada tahun 2005 dan kemudian menjadi salah seorang pemain terbaik dalam sejarah kelab itu.

Ramos bermain 671 perlawanan dan memenangi 22 trofi, termasuk lima di La Liga dan empat Liga Juara-Juara Eropah.

Dia merupakan pemain pertahanan dengan rekod gol luar biasa untuk kelab dan negaranya.

Ramos disisihkan daripada saingan Euro 2020 oleh Sepanyol kerana baru pulih daripada kecederaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast