Memphis Depay

MADRID – Baru genap seminggu menandatangani kontrak dua tahun bersama Barcelona, bintang antarabangsa Belanda, Memphis Depay bakal dipotong gaji mingguannya di Nou Camp.

Barcelona dilaporkan terpaksa melakukan demikian kerana dikatakan sudah melebihi had pembayaran gaji pemain yang telah disyaratkan dalam peraturan bola sepak La Lila Sepanyol.

Ini bermakna pemain baharu yang direkrut oleh mana-mana kelab La Liga tidak boleh didaftarkan secara rasmi dalam liga dan berdepan pemotongan gaji mingguan.

Kontrak yang dipersetuju the Catalans bersama bekas pemain Manchester United itu adalah bernilai £6 juta dengan bonus tambahan berasaskan persembahan atas padang.

Bagaimanapun dalam situasi kelab yang sudah melampaui had maksimum gaji pemain yang dibenarkan la Liga, Barcelona tiada pilihan lain kerana tidak boleh menawarkan gaji bernilai lebih daripada £5 juta setahun selain terpaksa memotong 30 peratus daripada gaji penuh yang ditawarkan kepada pemain itu.

Sementara itu, pihak Depay dilaporkan gembira menerima pemotongan gaji itu dari kelab baharunya sebagai membantu the Catalans mengelak sebarang krisis kewangan.

Kelab gergasi itu juga dilaporkan sudah mengambil langkah sewajarnya untuk menstruktur semula gaji pemain musim depan.

Pemotongan gaji pemain dalam pasukan dibuat untuk menaja dana bagi mengikat khidmat Lionel Messi yang telah tamat kontrak di Nou Camp kekal lebih lama.

Barcelona kini dalam keadaan tertekan untuk mengikat kontrak baharu yang lumayan seperti yang dituntut pihak Messi tanpa pemotongan gaji menyebabkan kelab berkenaaan berpeluh selain berdepan tekanan terma kewangan La Liga.-MalaysiaGazette