Tong Keong (kanan) menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendakwa peruntukkan berjumlah RM1.04 juta oleh Ketua Menteri Pulau Pinang tidak digunakan sepenuhnya dalam membantu rakyat di negeri itu.

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, persoalan itu timbul selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendakwa menerusi kenyataan media bahawa mereka hanya mendapat peruntukan sebanyak RM20,000.

Jelas beliau, berdasarkan peruntukkan RM1.04 juta yang diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk 40 kawasan ADUN, setiap wakil rakwat sepatutnya mendapat RM26,000.

“Mana pergi RM6,000 yang baki itu? Mana pergi baki yang berjumlah RM240,000 yang harus diagihkan kepada rakyat Pulau Pinang di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri?

“Malah, pengumuman peruntukan itu dibuat setelah kempen kibar bendera putih bermula dan juga setelah berlakunya sesetengah rakyat Pulau Pinang memasang bendera putih di depan rumah mereka ini sekali gus mencerminkan rakyat negeri ini telah lama menunggu bantuan daripada kerajaan negeri DAP.

“Ini juga secara tidak langsung membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang gagal menghulurkan bantuan dan menjaga kebajikan warga negerinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tong Keong, peruntukan berjumlah RM20,000 itu tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat di sesebuah kawasan DUN.

“Sebagai contoh, DUN Padang Kota mempunyai 14,476 orang pengundi, masing-masing akan menerima RM1.40 daripada peruntukkan RM20,000 tersebut dan ini tidak termasuk penduduk di kawasan DUN itu yang bukan pengundi.

“Sekiranya, bantuan berbentuk barangan yang diberikan kerajaan negeri bernilai RM50 pula, hanya 400 orang penduduk di setiap kawasan yang akan menerima manfaat tersebut. Maka, jumlah peruntukan itu masih tidak cukup untuk membantu semua rakyat Pulau Pinang yang memerlukan bantuan.

“Selain itu, ketika memberi bantuan kepada beberapa orang, kami juga menerima aduan daripada penduduk di beberapa kawasan bahawa mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada negeri Pulau Pinang,” kata Tong Keong.

Dalam perkembangan sama, Tong Keong turut menggesa kerajaan negeri DAP mengikut jejak langkah kerajaan negeri Sembilan dan Johor untuk mengecualikan bayaran sewa premis dan kediaman PPR untuk meringankan beban rakyat yang kehidupan mereka terkesan akibat penularan Covid-19.

“Mengikut laporan berita, kerajaan negeri Pulau Pinang hanya memberi pengecualian bayaran sewa itu pada tahun lepas dan tidak dilanjutkan atau dilaksanakan semula pada tahun ini sungguhpun perintah kawalan pergerakan masih dikenakan kini telah memberi impak kepada rakyat setempat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette