Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mempertikaikan tindakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin.

CUEPACS menyifatkan program berkenaan hanya untuk mengaut keuntungan ketika kebanyakan rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, tawaran perlindungan tambahan menerusi program itu tidak mencerminkan keprihatinan LPPSA untuk bersolidariti dengan rakyat dalam waktu ini.

“Mengapa perlu menjual perlindungan tambahan sekiranya ia boleh dimasukkan dalam perlindungan insurans sedia ada.

“Sebelum ini ramai penjawat awam bising mengenai caj insurans pembiayaan perumahan LPPSA yang tinggi dan membebankan penjawat awam. Isu tersebut tiada penyelesaian yang baik sehingga kini,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, LPPSA sepatutnya menjadi badan yang mengurus pinjaman perumahan penjawat awam dengan lebih baik, murah dan tidak mengenakan caj insurans membebankan.

“Tindakan LPPSA memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin seperti mahu mengambil keuntungan secara berselindung daripada penjawat awam.

“Ia tidak dilihat mahu membantu penjawat awam tetapi membantu syarikat insurans dengan memperkenalkan program yang membolehkan syarikat insurans melalukan jualan. Untuk makluman semua, perlindungan kemalangan diri boleh diperoleh lebih murah di pasaran,” tambahnya.

Dilaporkan, LPPSA memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin kepada pelanggan yang masih mempunyai akaun berstatus aktif berkuatkuasa hari ini.

Program ini merupakan kerjasama antara LPPSA dan panel Insurans / Takaful Am LPPSA yang memberi pilihan kepada pelanggan  memiliki perlindungan tambahan selain perlindungan Insurans / Takaful Mortgage Reducing Term Assurance / Takaful yang telah diluluskan bersama-sama pembiayaan perumahan sektor awam sebelum ini.

LPPSA menerusi kenyataan berkata, manfaat atau perlindungan yang ditawarkan termasuk kematian / keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan, keilatan separuh dan kekal akibat kemalangan, jumlah perlindungan tambahan untuk kematian / keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan semasa melancong di luar negara dan di dalam pengangkutan awam.

Manfaat dan perlindungan lain adalah perbelanjaan pengebumian akibat kemalangan, perbelanjaan penghantaran pulang jenazah akibat kemalangan, Badal Haji, perbelanjaan pemulihan akibat kemalangan, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan serta bayaran ambulans.

Mengulas lanjut menurut Adnan, LPPSA perlu mempertimbangkan kembali perkara penting yang diperlukan oleh penjawat awam pada waktu ini, iaitu pemberian moratorium kepada pinjaman.

Justeru beliau, menggesa LPPSA menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam seperti yang dilaksanakan bank-bank swasta, kerana ada dalam kalangan penjawat awam mempunyai pasangan yang terkesan dengan pandemik.

“Diingatkan tidak semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan dan dianggarkan lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga secara kecil-kecilan selain menjadi suri rumah sepenuh masa. Ada dalam kalangan mereka yang kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan sejak tahun lalu,” kata Adnan.-MalaysiaGazette