Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir untuk melawat kawasan perumahan Taman Murni susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2021.

SEPANG – Selangor dijangka memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bulan Ogos atau September ini sekiranya nilai ambang yang ditetapkan dapat dicapai.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana proses pemberian vaksin kepada penduduk di negeri itu kini bergerak pantas dengan semalam sahaja mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 80,000 dos.

Bagaimanapun, menurut beliau, jumlah kes baharu positif Covid-19 dan kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum Selangor dapat melangkah ke fasa seterusnya.

“Sistem kesihatan kita masih lagi terhad, kes-kes juga masih lagi tinggi, jadi saya percaya sekitar bulan Ogos atau September kita bolah masuk Fasa 2 PPN dan selepas itu dengan pantas memasuki Fasa 3.

“Ini kerana proses pemberian vaksin kita pantas sebab itu boleh naik sehingga 80,000 sehari pada semalam.

“Kalau ikut rancangan Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan), 80 peratus populasi dewasa di Selangor boleh dicapai (vaksin) pada bulan Ogos ini jadi itu maknanya kita akan lebih pantas memasuki fasa seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Murni di sini yang dikuatkuasakan bermula 30 Jun hingga 13 Julai.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melawat kawasan perumahan Taman Murni susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2021.

Turut hadir, Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd. Hamid Hussain.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan PKPD di beberapa mukim di Selangor akan dilanjutkan atau sebaliknya, Amirudin berkata, ia bergantung kepada jumlah kes harian yang direkodkan.

“Isu besarnya, PKPD ini untuk menyelamatkan dan mempertahankan sistem kesihatan kita. Kalau kes banyak dan orang ramai dibenarkan pergi bekerja dan mereka ada potensi berkumpul dimana-mana tempat kerja atau ruang awam maka semakin banyak kes akan dikesan.

“Sebab itu saya jelaskan di peringkat awal janganlah kita jangka selepas beberapa hari PKPD dilaksanakan kes akan turun sehingga 2,000 atau 200, ada kitarannya.

“Sebab itu saya sebut, selepas tiga minggu biasanya kita akan mula lihat kesan daripada pelaksanaan PKPD ini,” ujarnya.

Terdahulu pada 3 Julai lalu, PKPD mula dilaksanakan di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari sehingga 16 Julai.

Mukim di Selangor yang dikenakan PKPD membabitkan daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kenaikan angka kes positif yang dicatatkan di negeri Selangor semalam turut disumbang oleh saringan menyeluruh yang dijalankan di enam kawasan PKPD bersasar.

“Sekarang ini kes naik kerana kita ada PKPD di sini (Taman Murni), bayangkan di Mentari Court ada 9,000 penghuni, kita swab dan lebih 1,000 kes, di sini pun lebih kurang 200 kes tak campur lagi di tempat lain.

“PKPD ini memang tidak menyenangkan, saya pun tak senang tapi ini merupakan pahit yang terpaksa kita telan seketika,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dua tiga hari lepas MB kata Selangor dah boleh masuk Fasa 2 … Saya yang confius ke…..

  2. Pandai jgk mb s’gor ni buat lawak ya..org² slngor blh percaya ke ckp mb korg ni

Comments are closed.