Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang media mengenai rampasan dadah di Shah Alam hari ini.

KUALA LUMPUR – Dadah bernilai RM44 juta berjaya dirampas menerusi serbuan di tiga stor sekitar Lembah Klang pada 5 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, stor itu didapati menyimpan 431 bungkusan dadah syabu, 863 bungkus heroin dan 2000 biji Eramin 5 dengan anggaran berat keseluruhan 764 kilogram (kg).

Semua dadah yang dirampas untuk dipasarkan kepada lebih 25 juta penagih, katanya.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah menjalankan 10 serbuan di sekitar Selangor pada 5 Julai. Dalam serbuan tersebut pihak polis berjaya menahan 14 individu berumur 20 hingga 70 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran syabu, heroin dan pil Eramin 5 di sekitar Lembah Klang,” katanya ketika sidang media  hari ini.

Menurut Arjunaidi, sindiket yang aktif sejak tahun lalu  menggunakan lori perdagangan termasuk lori buah-buahan untuk membawa masuk bekalan dadah daripada negara luar.

Antara yang turut disita adalah tujuh buah kereta pelbagai jenis, tujuh akaun bank bernilai RM35,672.61, wang tunai (RM61,209.60), USD 100, BAHT THAI 2,000 dan SD50.

“Selain itu seutas jam tangan dan pelbagai jenis barang kemas turut dirampas,” katanya lagi.

Kata beliau, daripada 14 suspek yang ditahan, 10 lelaki dan tiga wanita merupakan warga tempatan manakala seorang lagi wanita adalah warga Vietnam.

Hasil ujian air kencing mendapati kesemua negatif dadah, walaubagaimanapun enam daripadanya 14 suspek didapati mempunyai rekod lampau pelbagai kategori jenayah.

Tambah Arjunaidi, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 6 Julai.

“Kes ini kita siasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah beliau.-MalaysiaGazette