KUALA LUMPUR, 10 Julai — Keputusan mempertaruhkan skuad Bawah 20 Tahun (B-20) kebangsaan beraksi pada pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober depan sudah diputuskan lebih awal, kata Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee.
Kim Swee berkata, idea untuk menghantar skuad B-20 itu dicadangkan beliau pada mesyuarat post mortem Sukan SEA 2019 di Filipina selepas prestasi hambar ditampilkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan di temasya dwitahunan itu.
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan berusia 50 tahun itu turut menjelaskan keputusan tersebut bukan sahaja dibincangkan di peringkat dalaman FAM, malah turut mendapatkan pandangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Saya faham kita ada beberapa pemain berusia bawah 22 tahun yang masih lagi layak beraksi, tetapi kita harus tahu tujuan kita untuk beri laluan kepada pemain bawah 20 tahun supaya mereka dapat raih pengalaman dan pendedahan, lebih penting untuk kita layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024.
“Kita perlu memikirkan perancangan yang teliti… jika kita bawa pemain berusia 22 tahun berapa lamakah mereka akan bersama dan jika kita bawa pemain berusia 20 tahun berapa banyak masa kita ada bersama mereka sebelum kelayakan Olimpik seterusnya pada 2023,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Kim Swee turut memaklumkan kelompok pemain yang bakal mengisi skuad B-20 kebangsaan itu adalah merupakan kumpulan pemain sama berada dalam pasukan bimbingan Brad Maloney yang muncul naib juara Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019.
Sementara itu, Maloney, yang ditugaskan untuk melatih dan memimpin pasukan B-20 kebangsaan gembira dengan tugas baru yang diberikan kepadanya dan berharap dapat meneruskan kerjasama yang telah terjalin dengan kumpulan pemain.
“Walaupun ini akan menjadi cabaran kepada mereka untuk beraksi menentang pemain yang mungkin dua atau tiga tahun lebih tua daripada mereka, saya rasa ini adalah keputusan terbaik yang diambil oleh FAM, untuk memberikan pengalaman kepada pemain ini dan kami percaya bahawa pemain-pemain ini mampu menghadapi cabaran,” katanya.
Dalam pada itu, Maloney mengakui beberapa tonggak pemain muda negara antaranya penyerang KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsuddin, Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim) serta beberapa pemain berpangkalan di Eropah berada dalam senarai panjang pemain untuk dipanggil.
Semalam, FAM mengesahkan keputusan mempertaruhkan skuad B-20 kebangsaan ke pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ia dipersetujui dan diluluskan Jawatankuasa Eksekutif FAM.
Malaysia diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J pusingan kelayakan itu yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 31 Okt di Mongolia untuk merebut 15 slot terbaik bersama pasukan tuan rumah, Uzbekistan ke pusingan akhir.
Skuad B-20 kebangsaan akan membuka tirai saingan kumpulan bertemu Laos pada 27 Okt sebelum menentang Mongolia dan Thailand, masing-masing pada 29 dan 31 Okt. – MalaysiaGazette