Jiang Duan

GENEVA – China konsisten dengan pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka yang sah.

Pendirian itu disuarakan wakil misi China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Jiang Duan ketika berucap dalam sesi ke-47 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Jumaat.

Jiang menyifatkan konflik antara Palestin dan Israel sejak kebelakangan ini suatu yang amat menyedihkan.

Selain mengutuk tindakan kekerasan menyasar rakyat jelata, beliau menggesa Israel bertindak mengikut resolusi dipersetujui PBB bagi menjamin hak dan kepentingan sah rakyat Palestin.

Israel turut digesa berhenti merobohkan rumah dan mengusir penduduk Palestin, menghentikan projek peluasan petempatan Yahudi, serta menamatkan sekatan ke atas Gaza secepat mungkin.

Sementara itu, Jiang menyeru masyarakat antarabangsa berusaha mengukuhkan gencatan senjata antara kedua-dua pihak, memperbaiki situasi kemanusiaan di Gaza, meneroka pendekatan untuk membina kepercayaan ke arah memulihkan rundingan damai melalui “penyelesaian dua negara” berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Ujarnya, China bersedia bersama masyarakat antarabangsa terus menyumbang kepada pewujudan keamanan sacara menyeluruh, adil dan berkekalan di Asia Barat seawal mungkin.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast