Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Vaksinasi harian di Malaysia kini melepasi kadar purata per kapita vaksinasi di dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sasaran jumlah dos suntikan yang berjaya dicapai iaitu 300,000 sehari membuktikan negara kini berada di landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.

“Malah vaksinasi harian juga kebelakangan ini mencatat sejumlah 250,000 dos suntikan sehari secara konsisten dan disasarkan 300,000 sehari mulai bulan ini.

“Ini memberi gambaran bahawa kita sedang berada di landasan yang tepat dalam usaha mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan seterusnya dapat kembali kepada kehidupan normal seperti sediakala,” katanya menerusi kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Pertahanan dalam kenyataan sama berkata, kadar peningkatan kes positif Covid-19 didorong oleh penemuan varian-varian baharu seperti yang sedang berlaku di negara lain.

“Di Afrika, kadar peningkatan kes jangkitan Covid-19 telah meningkat kepada 16.7 peratus. Manakala di kawasan timur Mediterranean pula mencatatkan 16.4 peratus. Analisis negara-negara di Eropah juga telah merekodkan sebanyak 33 peratus kadar peningkatan jangkitan dan 8.6 peratus di bahagian Asia Tenggara.

“Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini antaranya ialah penemuan varian-varian baharu yang mempunyai impak lebih serius ke atas individu serta menular dengan lebih cepat berbanding jangkitan biasa,” kata Ismail.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini mengesahkan berlakunya penularan carian Delta yang mengakibatkan lonjakan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini-MalaysiaGazette