RM10,000 EPF withdrawal Employees Provident Fund
Data terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan bahawa kira-kira 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka dan dalam kalangan mereka 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak boleh memohon pengeluaran i-Citra mulai hari ini.

Walaupun boleh melakukannya secara dalam talian namun ramai juga memilih memohonnya secara manual di kaunter Ibu Pejabat KWSP di Jalan Raja Laut di sini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati beberapa kakitangan KWSP turut berada di ruang legar bangunan berhadapan lobi bangunan itu bagi membantu orang ramai yang mahu memohon pengeluaran i-Citra.

Bagi Johari Yusof, 52, dia hanya bergantung harap dengan pengeluaran KWSP sejak kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Lelaki berasal dari Sabah itu menegaskan, pandemik yang melanda negara sejak tahun lalu itu benar-benar menghimpit kehidupannya selepas hilang pendapatan sebagai seorang tukang urut.

Johari Yusof . Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 JULAI 2021.

“Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilanjutkan sehingga ke tahun hadapan, saya sendiri tak pasti sama ada mampu bertahan atau pun tidak kerana RM1,000 yang akan diterima kelak hanya cukup untuk perbelanjaan harian sahaja.

“Itu pun ikut atas individu terbabit sama ada dia pandai menyimpan duit atau pun boros. Kami rakyat sememangnya perlukan bantuan lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Norasikin Abu Bakar. Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 JULAI 2021.

Sementara itu, Norasikin Abu Bakar, 51, dari Sentul berkata, atas faktor kesihatan sudah lebih lima tahun dia berhenti kerja sebagai seorang pekerja pembersihan.

Oleh itu, dia amat memerlukan wang hasil pengeluaran KWSP untuk meneruskan kehidupan.

“Saya memang ada dapat bantuan lain seperti Baitulmal tapi disebabkan kerajaan benarkan buat pengeluaran lain seperti i-Citra jadi saya mohon lagi.

“Sebelum ini boleh keluarkan sehingga RM10,000 tapi sekarang hanya RM5,000,” ujarnya.

Kamarul Zaman Mohd Daud menunjukkan laman sesawang permohonan i-Citra ketika tinjauan orang ramai berikutan permohonan bantuan i-Citra di ibu pejabat KWSP Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 JULAI 2021.

Manakala bagi seorang polis bantuan, Kamarul Zaman Mohd Daud, 48, dia gembira apabila permohonan pengeluaran i-Citra yang diisi olehnya hari ini diluluskan melalui dalam talian.

Menurutnya,  pengeluaran wang KWSP itu ibarat talian hayat buatnya untuk terus menampung hidup di saat-saat negara masih berdepan wabak Covid-19.

“Pengeluaran ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 untuk membeli keperluan atau pun barang-barang dapur.

“Sebelum ini pun saya turut keluarkan i-Sinar dan permohonan i-Citra hari ini dilihat lebih mudah kerana kesemua data pemohon sudah ada disimpan,” katanya.

Siti Aminah Abu Bakar. Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 JULAI 2021.

Namun lain pula nasib seorang pekerja pembersihan, Siti Aminah Abu Bakar, 58, dari Datuk Keramat apabila dia tidak layak untuk membuat permohonan i-Citra.

Jelas Siti Aminah, dia amat kecewa apabila dimaklumkan oleh kakitangan KWSP bahawa hanya ahli yang berusia 55 tahun ke bawah sahaja layak untuk membuat permohonan dan 55 tahun ke atas tidak dibenarkan kerana sudah menghampiri usia persaraan.

“Saya tak layak memohon kerana sudah berusia 58 tahun, memang sedih sangat kerana saya bukanlah orang senang dan masih perlu menanggung seorang anak berusia 16 tahun.

“Bukan apa saya ini bukan lah sihat sangat dan hanya bekerja sebagai seorang tukang cuci, sewa rumah pula agak mahal iaitu RM600 sebulan tak termasuk air dan elektrik, jadi memang benar-benar perlukan pengeluaran KWSP,” katanya.

Semalam KWSP menerusi satu kenyataan memaklumkan, ahli-ahli yang berusia bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran i-Citra bermula hari ini iaitu tiga hari lebih awal daripada tarikh jangkaan asal.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan dan dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula bulan Ogos.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengeluaran i-Citra selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebagai inisiatif jangka pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Permohonan i-Citra diawalkan, boleh mula pohon esok – KWSP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast