KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu yang dibicarakan esok di Mahkamah Sesyen dipindahkan ke Mahkamah Tinggi ditolak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, menolak permohonan itu memandangkan Mahkamah Sesyen mempunyai mempunyai kelayakan undang-undang dalam membicarakan kes tersebut.

“Sebarang persoalan undang-undang boleh ditangani dan diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Sesyen mempunyai kelayakan undang-undang dan sangat berpengalaman untuk membicarakan kes terhadap pemohon.

“Mahkamah mendapati pemohon gagal mematuhi Seksyen 417(1)(d) Kanun Acara Jenayah. Oleh yang demikian mahkamah menolak permohonan pindah kes oleh pemohon,” katanya dalam penghakiman beliau hari ini.

Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo kemudian meminta mahkamah untuk menangguhkan kes di Mahkamah Sesyen esok sehingga permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin tampil memberitahu mahkamah pihaknya sudah mempunyai saksi untuk perbicaraan minggu ini dan prosiding perlu diteruskan.

Hakim kemudian menetapkan permohonan prosiding hadapan Hakim Azura Alwi akan didengar esok.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng juga didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sebanyak RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Zarul telah dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette