Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Selangor, Lim Kean Khiam. Foto HAFIZ SOHAIMI, 11 JULAI 2021.

KUALA SELANGOR – Persatuan Nelayan Negeri Selangor merayu supaya pelaksanaan transformasi kapal pukat tunda Zon B pada tahun hadapan tidak diteruskan.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Lim Kean Khiam berkata, peralihan dari Zon B ke Zon C bakal memberi impak terhadap peratusan tangkapan hasil laut yang disumbangkan kepada negara.

Menurut Kean Khiam, pelan pelaksanaan transformasi tersebut juga dianggap sebagai tidak wajar dan tidak adil terhadap nelayan pukat tunda Zon B.

“Bila berlaku peralihan pukat tunda dari Zon B ke Zon C sudah pasti akan menyebabkan kesesakan di kawasan tersebut apabila jumlah bot menjadi dua kali ganda.

“Selain itu, lebih ramai nelayan bakal berdepan dengan penguatkuasa dari negara jiran (Indonesia) apabila mereka diminta untuk ‘berhijrah’ ke Zon C kerana itulah situasi sebenar yang berlaku di sana.

“Kebarangkalian untuk mereka ditimpa musibah atau pun karam juga besar kerana kebanyakan bot-bot di Zon B ini lebih kecil,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jeti Bagan Pasir, Tanjung Karang di sini semalam.

Jelas Kean Khiam lagi, antara faktor lain adalah persaingan sengit yang bakal dihadapi kerana terdapat sebanyak 2,630 bot di Zon B manakala lebih 2,000 bot berada di Zon C.

Kean Khiam berkata, sekitar tahun 2014, Jabatan Perikanan Malaysia telah memberi kelulusan khas di Zon B bagi negeri Selangor dan Perak untuk menunda udang baring.

“Ini kelulusan khas, kelulusan ini cuma di Zon B sahaja boleh menunda udang baring yang digunakan untuk membuat belacan. Jika transformasi Zon B ini dilaksanakan maka kelulusan khas tersebut akan lenyap.

“Kita juga akan melihat kesan perubahan ke atas sosio ekonomi, sebagai contoh di sini pendaratan udang baring lebih 700 tan, jadi ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada lebih 70 penduduk kampung selama seminggu dengan pendapatan setiap individu sekitar RM1,000 hingga RM1,500,” ujarnya.

Kean Khiam berkata, beliau dimaklumkan dasar tersebut akan dilaksanakan berikutan pendaratan hasil laut yang semakin berkurangan dan Zon B merupakan kawasan pembiakan ikan.

“Ada orang sebut Zon A yang menjadi tempat pembiakan ikan, saya pun tidak pasti mana satu yang betul.

“Sebetulnya transformasi Zon B itu akan bermula pada Januari tahun ini, tapi selepas kami ‘fight‘ dianjak pula bermula tahun hadapan sehingga 2025,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast