Anggota tentera Malaysia melakukan kerja-kerja pembukaan kawat berduri di sekitar kawasan Mentari Court berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mentari Court, Selangor . Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Macam sambut tahun baharu!

Itu gambaran apabila kira-kira 17,000 penduduk Apartmen Mentari Court di sini meraikan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) awal pagi tadi.

Majoriti penduduk menggunakan lampu telefon bimbit sambil melambai dan ada dalam kalangan mereka membakar bunga api daripada tingkap rumah masing-masing.

Mereka  bersorak ‘terima kasih’  dan ‘merdeka’ kepada anggota keselamatan dan kesihatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ditamatkan tepat 11.59 malam tadi.

Penduduk menyalakan lampu pada telefon bimbit meluahkan rasa gembira berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertatkan (PKPD) di Mentari Court, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 JULAI 2021.Sementara itu, anggota keselamatan terlibat dalam membuka kawat duri dan khemah yang didirikan di hadapan Mentari Court  selepas kawalan ketat selama 12 hari di kawasan berkenaan ditamatkan.

Penduduk menyalakan lampu pada telefon bimbit meluahkan rasa gembira berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertatkan (PKPD) di Mentari Court, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 JULAI 2021.

Dalam sidang media khas penamatan PKPD di Mentari Court, Pegawai Daerah Petaling Jaya, Datuk Johary Anuar berkata, selepas semua tugasan serta saringan kesihatan dan pemberian vaksin selesai dilaksanakan, pihaknya telah memohon kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menamatkan pelaksanaan PKPD di kawasan perumahan itu dan ia diluluskan.

“Rentetan permohonan PKPD yang dilaksanakan sejak 1 Julai lalu selama 12 hari yang dijadualkan tamat 14 Julai ini dipersetujui Jawatankuasa Penilaian Risiko KKM dan MKN untuk ditamatkan lebih awal iaitu 11.59 malam ini (malam tadi),” katanya.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar ketika sidang media penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertatkan (PKPD) di Mentari Court, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 JULAI 2021.

Sepanjang 12 hari PKPD dilaksanakan di Mentari Court,  seramai 9,504 orang penduduk telah disaring manakala 5,797 daripadanya telah dilibatkan dalam calitan Polymerase Chain Reaction (PCR) dan daripada jumlah itu seramai 419 orang atau 7.2 peratus positif.

“Dalam masa yang sama, kawasan ini turut diwujudkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi mengenalpasti penduduk yang memerlukan rawatan lanjut di hospital dan hanya memerlukan kuarantin di rumah,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Anggota tentera melakukan kerja-kerja pembukaan kawat berduri di sekitar kawasan Mentari Court berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mentari Court, Selangor . Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 JULAI 2021.

Turut hadir ke penamatan PKPD di Mentari Court adalah Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharipah Marhaini Syed Ali.

Tambah Johary, daripada jumlah penduduk yang dirujuk di CAC, hanya 68 orang sahaja dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut serta kuarantin dan yang lain telah diberikan kuarantin kendiri di rumah.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKPD, kemudahan perubatan turut disediakan untuk penduduk dan seramai 395 orang disediakan rawatan pelbagai kes termasuk Covid-19 dan juga bukan pandemik.

Justeru katanya, menerusi program pemberian vaksinasi julung kali kepada penduduk PKPD Mentari Court, seramai 6,178 orang atau 65 peratus diberi vaksin iaitu 6,102 orang diberi dos pertama manakala 76 orang menerima suntikan dos kedua.

“Manakala sebanyak 2,876 orang penduduk tidak terlibat dalam pemberian vaksin kerana ada diantaranya sudah divaksin lebih awal sebelum PKPD dilaksanakan, ada penduduk berusia kurang daripada 18 tahun dan ada juga penduduk yang mempunyai masalah alergi dan penyakit comorbid.

“Saya menasihatkan penduduk yang kini bebas PKPD supaya tidak alpa dengan kebebasan ini dan ingat SOP masih berkuatkuasa dan sila patuhi apa yang ditetapkan mengelak jangkitan,” katanya.

Penduduk melihat kerja-kerja pembukaan kawat berduri berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertatkan (PKPD) di Mentari Court, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 JULAI 2021.

Menurutnya, sepanjang PKP, sebahagian besar SOP yang digariskan kerajaan sudah dilaksanakan secara berkesan namun pihaknya akan cuba menambaik SOP terutama daripada segi penghantaran makanan yang diterima dari pihak luar untuk penduduk.

“Bayangkan dalam sehari, kita menerima lebih 2,000 pesanan makanan dan barangan untuk diedarkan kepada penduduk di sini dan syabas kepada pasukan JKM dan semua agensi penguatkuasa sukarelawan yang menguruskan pesanan penduduk enam hingga tujuh kali sehari,” katanya.-MalaysiaGazette