Dr. Adham baba

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata peruntukan tambahan RM100 juta bagi pengurusan Covid-19 di Lembah Klang akan digunakan untuk menambah baik pengurusan pesakit di hospital.


KUALA LUMPUR – Sebanyak RM100 juta peruntukan tambahan bagi pengurusan Covid-19 di Lembah Klang akan digunakan untuk menambah baik pengurusan pesakit di hospital.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, antara langkah yang akan diambil ialah menambah dua buah hospital yang dikhususkan untuk Covid-19.

“Dua buah Hospital Full Covid-19 iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang bermula 23 Jun 2021.

“Hospital Ampang mempunyai kapasiti 577 buah katil. Manakala hospital lain dijadikan sebagai Hospital Hybrid Covid-19 kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai Hospital
Non-Covid-19,” katanya dalam sidang media khas Menteri Kesihatan, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (​Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong.

Pada hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan sebanyak RM100 juta ditambah bagi aktiviti penyumberan luar dan RM20 juta untuk pengurusan kesihatan mental.

Selain itu, menurut Muhyiddin peruntukan tambahan juga diberi untuk penambahan ruang di hospital-hospital di Selangor sebanyak RM5 juta dan bayaran elaun Covid-19 bagi kakitangan di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak RM1,000 sebulan.

Kerajaan juga bersetuju menyediakan taska atau menyewa bangunan untuk menempatkan anak-anak petugas barisan hadapan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta dan Pusat Kuarantin khas bagi petugas barisan hadapan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, katanya.

Dalam peruntukan itu, kapasiti di semua hospital di Lembah Klang akan ditambah kepada 3,777 katil dan 1,129 katil di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sementara itu, Adham berkata, kerjasama yang dibuat dengan tiga buah hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Hospital Pengajar UPM adalah bagi mengoptimumkan penggunaan katil Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 buah katil.

Skop perkhidmatan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) turut diperluaskan.

Menurut Adham, PKRC MAEPS akan dijadikan Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama dengan hospital Kerajaan lain. – MalaysiaGazette