Ahli Parlimen Batu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, P. Prabakaran r.Foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Penuh dan kini Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak berbulan-bulan lamanya menyebabkan ramai tertekan dan hilang pekerjaan.

Walaupun kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Khidmat Parlimen memberikan bakul makanan kepada penduduk terjejas namun kebanyakan rakyat lebih memerlukan bantuan kewangan berbanding barang keperluan asas.

“Rakyat perlukan duit dan barang keperluan asas, apabila kita beli, kadang-kala mereka tak nak, tak guna kicap…tepung, tapi mereka kena ada duit bergerak, kena naik Grab untuk beli barang dan makanan yang mereka nak, mereka nak duit sahaja.

“Kalau kita bagi bakul makanan, mereka terpaksa ambil, kadang-kala kita beli beras itu pun, mereka tak guna, beras yang kita bagi tak sesuai untuk pesakit diabetes.

“Mereka memerlukan duit supaya mereka boleh jalankan aktiviti keluarga mereka, mereka boleh bergerak, kalau tak memang susah lah,” katanya pada sidang media di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Terdahulu Prabakaran bersama Timbalan Presiden Pertubuhan Generasi Gabungan Aspirasi Rakyat (GEGAR), Fitri Kamal menerima sebanyak 200 bakul makanan daripada syarikat ALF HKM Worldwide Empire Sdn Bhd.

Hadir sama Pengarah ALF HKM Worldwide Empire, Datuk Mohamad Alif Hakim bagi membantu golongan B40 dan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Prabakaran berkata, pihaknya cuba membantu rakyat yang memerlukan bantuan kewangan, namun bergantung kepada kemampuannya.

“Barang bakul makanan boleh tolong, lepas itu mereka nak pekerjaan, balik kepada Malaysia dahulu, Malaysia baru, ini Malaysia Covid-19

“Mana yang kita mampu kita bantu, tapi kita tak boleh lah bantu semua, ada yang baru-baru ini tak bayar bil elektrik, sewa rumah, macam itu pun kita susah juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast