Johor mencatatkan 3,424 kes keganasan rumah tangga dari tahun 2013 hingga Mei lalu, sekali gus menjadikan negeri ini kedua tertinggi selepas Selangor (4,064 kes).
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Sebanyak 239 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Pulau Pinang dalam tempoh enam bulan tahun ini, sekali gus menunjukkan peningkatan 62 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berdasarkan statistik punca utama berlaku keganasan rumah tangga membabitkan perselisihan faham antara keluarga iaitu sebanyak 98 kes.

Jelas beliau, selain itu, pengaruh dadah menjadi punca kedua dengan mencatatkan rekod sebanyak 77 kes dan diikuti dengan cemburu (18 kes); mabuk (16 kes) serta masalah kewangan kewangan (13 kes).

Datuk Mohd Shuhaily.

“Keganasan rumah tangga itu membabitkan suami isteri, bekas suami atau bekas isteri dan ahli keluarga.

“Antara kesalahan yang disiasat mengikut kes keganasan rumah tangga adalah menyebabkan kecederaan, ugutan jenayah serta khianat.

“Untuk makluman juga, pada tahun 2020 sebanyak 138 kes keganasan rumah tangga sudah dituduh di mahkamah manakala bagi tahun ini pula,sebanyak 106 kes,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, pihaknya tidak menolak kemungkinan peningkatan kes berkenaan adalah didorong oleh masalah pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

“Bagi isu keganasan rumah tangga, dalam keadaan kini, tekanan dari sudut ekonomi, perasaan dan sebagainya mungkin menjadi penyumbang,” ujar beliau.

Mengulas mengenai kes rogol, Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 48 kes rogol dilaporkan antara Januari hingga Jun lalu di negeri ini dan menunjukkan peningkatan sebanyak tiga kes berbanding tahun 2020.

Kata beliau, berdasarkan rekod, sebanyak 24 kes rogol adalah atas kerelaan mangsa sendiri iaitu membabitkan usia bawah 16 tahun manakala 20 lagi kes membabitkan paksaan dan empat lagi berlaku akibat pengaruh alkohol dan dadah.

“Sebanyak 18 kes rogol dituduh di mahkamah pada tahun 2020 dan lima kes pada tahun ini.

“Kes membabitkan rogol disiasat mengikut Seksyen 376 Kamun Keseksaan, Seksyen 375 Kanun Keseksaan dan 376b Kanun Keseksaan,” kata Mohd Shuhaily.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, sebanyak 768 kes kecurian di tempat bebas serta di dalam bangunan, kenderaan dan kedai dilaporkan sejak Januari hingga Jun tahun ini berbanding 518 kes tahun lalu iaitu meningkat 250 kes.

Kata Mohd Shuhaily, biarpun kes jenayah secara keseluruhannya menurun 22.1 peratus, kes kecurian harta benda menunjukkan pertambahan 48.2 peratus.

“Keseluruhan kes jenayah turun 461 kes iaitu 1,623 kes dicatatkan tahun ini berbanding 2,084 tahun lalu.

“Saya sifatkan kejadian curi mungkin akibat peluang yang wujud dan kelalaian mangsa.

“Sekiranya kita nak kaitkan dalam keadaan Covid-19, peluang yang ada ini akan diambil oleh mereka yang terdesak atau mempunyai tabiat mencuri sehingga membuatkan kes meningkat,” tegas Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette