Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pas mencadangkan beberapa perkara untuk dimasukkan ke dalam Program Tadbir Urus Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Cadangan itu dikemukakan ketika pertemuan dalam sesi Libat Urus Pelan Pemulihan Negara dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang berlangsung, semalam.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, semalam merupakan giliran Pas selepas semua parti-parti politik turut dijemput hadir ke program tersebut.

Katanya, di sudut kesihatan Pas mencadangkan satu pendekatan ‘Smart Containment’ iaitu satu langkah yang lebih agresif yang perlu diberi tumpuan di Selangor dan Lembah Klang sama ada dari sudut penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mahupun vaksinasi harian.

“Kami cadangkan pendekatan berfokus perlu dilakukan di situ dengan menambah jumlah vaksinasi harian di Selangor dari 100,000 sehari ke sekurang-kurangnya 250,000 sehari.

“Sekiranya ini dapat dicapai, tahap 80 peratus vaksinasi keseluruhan di Selangor dapat dicapai dalam dua minggu dan seterusnya mengurangkan kes harian negara secara tidak langsung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Idris berkata, fasa pemberian vaksin di bawah program Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) perlu anjal dan perlu diubahsuai mengikut kadar infeksi di sesebuah negeri.

Katanya, walaupun vaksinasi pekerja melalui program PIKAS hanya bermula di fasa empat, namun, seharusnya ia dipercepatkan khusus di negeri-negeri seperti Selangor.

Jelasnya, segala sumber sama ada personal atau aset perlu digunakan untuk tujuan tersebut kerana langkah itu dijangka dapat mengembalikan Pelan Pemulihan Negara ke fasa kedua di hujung bulan Julai dengan jumlah kes kurang 4,000 sebulan.

Pas, katanya, turut merasakan perlunya ada ‘central command‘ dengan melibatkan semua aset dan guna tenaga dari semua yang terlibat berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak hingga menyebabkan hospital-hospital kerajaan agak tepu.

“Kami juga mencadangkan agar kerajaan menggunakan teknologi virtual terkini di dalam kuarantin kendiri bagi CAT 1 & CAT 2 pesakit Covid-19.

“Penggunaan gelang untuk kuarantin kelihatan agak primitif. Penggunaan MySejahtera perlu diperluaskan dengan merubah status secara automatik apabila disahkan oleh makmal.

“Pergerakan pesakit diawasi dengan GPS melalui aplikasi mudah alih yang wajib diaktifkan. Arahan pelepasan kuarantin juga tidak lagi memerlukan pegawai perubatan. Cukup dengan MySejahtera,” ujarnya.

Bagi membuka destinasi pelancongan pasca Covid-19, Pas katanya mencadangkan supaya Langkawi dipilih sebagai projek ‘Pilot untuk Travel Bubble’.

Ini kerana katanya, kedudukannya yang berhampiran dengan selatan Thailand yang sudahpun membuka aktiviti pelancongannya, sekali gus mendapat limpahan pelancong ke Langkawi.

Keseluruhan 70,000 penduduk di Langkawi perlu divaksinasi dan kemasukan pelancong perlu mengikut SOP antarbangsa yang telah digunakan oleh negara-negara maju yang lain.

Tambah beliau, penggunaan ujian saringan menggunakan air liur dengan penghasilan keputusan yang pantas boleh digunakan sebagai syarat masuk dan keluar dari Pulau Langkawi.

Sementara itu, di sudut ekonomi dan kebajikan Idris berkata, Pas mencadangkan pengurangan kadar faedah 50 peratus bagi pinjaman bank yang telah diluluskan untuk diberi moratorium enam bulan.

Ia meliputi pengurangan faedah dan pemberian moratorium kepada pinjaman daripada bukan institusi bank seperti syarikat kredit, katanya.

Pas juga mencadangkan kadar faedah atau keuntungan kad kredit diturunkan kepada empat hingga lima peratus.

Oleh kerana moratorium tidak diberikan kepada mereka yang tidak membayar 90 hari berturut-turut, maka sudah tentu membebankan dan membawa kepada masalah muflis kepada peminjam terbabit.

Disebabkan itu, kata beliau, Pasmencadangkan supaya peminjam diberikan moratorium selama tiga bulan, dengan erti kata diberi peluang untuk pulihkan ekonomi peminjam berkenaan.

Pas turut mencadangkan tempoh projek ‘Program Prihatin Kasih’ sebanyak RM100 sebulan dinaikkan RM200 sebulan dan tempoh dilanjutkan enam bulan melibatkan 300,000 keluarga miskin.

“Kami cadang mewujudkan ‘Jaringan Kecemasan’ untuk mereka yang hilang pendapatan akibat dibuang kerja serta-merta supaya ada tempat untuk mereka bergantung dan menyelesaikan masalah mereka.

“Kami turut mencadangkan yuran IPTA dikurangkan sebanyak 50 peratus dan memberi RM1,000 bantuan yuran kepada pelajar di IPTS.

“Kami mencadangkan pusat tuisyen percuma untuk anak-anak yang tertinggal dalam PdPR dan mencadangkan bantuan kewangan one off kepada guru-guru Maahad Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, pondok dan pra-sekolah yang terjejas dan bantuan per kapita kepada pelajar tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Tahu pun pentingnya wang ekonomi walhal biarkan jer dasar ekonomi apartheid aka DEB/NEP 30% untuk majority pribumi Melayu supaya kaum asing meraih 70% ekonomi sehingga tanah rizab Melayu merosot kini tinggal 12% jer.

Comments are closed.