Kaunter food bank yang dibuka di Maahad Tahfiz Yayasan Pahang.

KUANTAN – Kaunter food bank yang dibuka di Maahad Tahfiz Yayasan Pahang mendapat sambutan luar biasa apabila penerima menyerbu selepas 10 minit dibuka.

Yang Dipertua Kelab Keluarga Yayasan Pahang, Ir Ts Onn Abdul Rani berkata, program Free Food ini bermula 5 hingga 16 Julai ini mensasarkan penduduk di Tanjung Lumpur dan sekitarnya sebagai penerima tanpa sebarang syarat atau mengisi borang permohonan.

“Walau bagaimanapun penduduk dari mukim berbeza seperti Gambang dan tempat lain juga diboleh mengambil barang keperluan.

“Selama dua minggu program yang berlangsung ini kami mensasarkan 1000 sehingga 1200 penerima manfaat terdiri daripada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Pihak kami mengharapkan bantuan ini  dapat meringankan beban mereka yang terkesan dan membantu sedikit sebanyak kepada masyarakat hasil pengumpulan dana daripada kakitangan Yayasan Pahang.

“Namun sehingga kini hampir 900 penerima food bank daripada pelbagai kaum di sekitar Kuantan memanfaatkan keperluan barang dapur pecuma bermula pukul 10 hingga 11 pagi.

Rohana Rahim mengambil barang keperluan seperti sayur, beras , tepung dan minyak masak di Tanjung Lumpur

Bagi Rohana Rahim, 42 tahun bantuan ini sangat bermanfaat kepadanya yang  memerlukan bantuan ini.

Ini merupakan kali kedua dia menerima sumbangan.

“Dapat bantuan beras, sayur seperti ini bagus, untuk semua yang dapat, tidak perlu beratur dan ambil yang perlu.

Norkhamsiah Rani

Sementara itu, Norkhamsiah Rani, 29 tahun, berkata, dia mengetahui mengenai program itu melalui jiran tetangga.

Beliau berharap program seumpama ini sentiasa dihebahkan menerusi media sosial seperti Facebook.

“Saya mengambil bantuan ini agar dapat ringan beban diri dan suami kerana kami tidak dapat bekerja sejak dua bulan lalu. Bantuan seperti ini sangat bermakna.

Norsuraya Rani, 20 tahun pula berpendapat, dalam keadaan getir seperti hari ini, sumbangan seperti ini sewajarnya dikongsi bersama.

“Macam saya hanya tak cukup barang keperluan, jadi saya ambil yang perlu sahaja, barang yang sangat diperlukan ketika ini,” ujarnya.

Suhaila Shahar, 36 tahun penduduk Tanjung Lumpur meyifatkan bantuan yang diberikan sangat berharga pada musim ini

Bagi Suhaila Shahar, 36, pula menyifatkan bantuan asas seperti tepung, telur, beras, minyak, gula ini sangat diperlukan oleh isi rumah yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Surirumah ini berkata, pendapatan isi rumahnya terkesan apabila suaminya hilang pendapatan.

“Syukur sangat, bantuan ini sangat bermakna,” katanya yang pernah menerima bantuan dari  Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Lumpur”.- MalaysiaGazette