Foto The Straits Times.

LONDON – Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) telah menjalankan siasatan tatatertib untuk mendakwa Persatuan Bola Sepak England (FA) kerana gangguan yang berlaku ketika final Euro 2020 menentang Itali di Wembley, pagi kelmarin.

Badan pentadbir bola sepak Eropah itu turut melantik seorang pemeriksa etika dan disiplin untuk menjalankan siasatan mengenai peristiwa membabitkan penyokong yang berlaku di dalam dan sekitar stadium.

Aksi final yang dimenangi Itali menerusi penentuan penalti itu dicemari oleh pertembungan antara peminat dan pegawai di dalam dan sekitar stadium.

Pihak polis berkata, 19 pegawai cedera dan 86 ditangkap setakat ini, 53 daripadanya ditangkap di dalam stadium.

Rakaman menunjukkan sekumpulan penyokong merusuh untuk masuk ke stadium sebelum perlawanan selain terdapat gangguan di pusat bandar London.

Bekas pemain Three Lions, Rio Ferdinand turut dipukul ketika hendak masuk ke stadium. – MalaysiaGazette