Timbalan Presiden Gegar Malaysia, Fitry Kamal menyampaikan barangan keperluan asas kepada penduduk di Kampung Sungai Cincin, Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2021.

GOMBAK – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa segera kembali ke Malaysia bagi menyelesaikan masalah pengundinya khususnya komuniti Orang Asli yang juga terjejas akibat Covid-19.

Timbalan Presiden Pertubuhan Generasi Gabungan Aspirasi Rakyat (GEGAR), Fitry Kamal mendakwa, masyarakat pribumi itu mendakwa mereka masih tidak mendapat sebarang bantuan daripada Pejabat Khidmat Parlimen Gombak sejak awal tahun ini.

“Kali terakhir Orang Asli di Batu 16 Gombak mendapat bantuan daripada Pejabat Khidmat Parlimen Gombak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Januari tahun ini.

“Sepatutnya Azmin fokus kepada Parlimen beliau untuk lebih memudahkan golongan terdesak dan rakyat yang memerlukan bantuan.

“Saya minta YB Mohamed Azmin segera balik ke Malaysia untuk selesaikan masalah di Gombak ini kerana pengundi di Gombak ini majoriti mengundi beliau ketika PRU-14,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dipercayai masih berada di Turki bagi satu lawatan kerja.

Dalam pada itu, Fitry juga mendakwa, Mohamed Azmin lebih gemar membuat percaturan politik demi kepentingannya berbanding membela nasib pengundinya khususnya di kawasan pedalaman.

“Apa yang saya lihat YB Azmin lebih fokus kepada susun atur atau percaturan politik sedangkan keperluan Orang Asli di sini seperti bantuan makanan dan kewangan masih tidak terbela sehingga sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Orang Asli tunggu bantuan wakil rakyat