KUALA LUMPUR – Kenyataan-kenyataan melampau yang dikeluarkan oleh sesetengah pemimpin kerajaan sebelum ini telah menyebabkan rakyat bertambah marah dan benci kepada politik.
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, kenyataannya merujuk kepada tindakan dilakukan oleh rakyat seperti menaikkan bendera putih tidak sepatutnya dijadikan satu perkara untuk dipersenda.
Sebaliknya, ia merupakan satu perkara yang bukan main-main namun merupakan realiti yang menunjukkan kesengsaraan dihadapi mereka ketika ini, katanya.
Jelasnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin mengangkat bendera berwarna lain adalah lebih baik berbanding bendera warna putih dilihat sebagai satu kenyataan yang memperlekeh dan menyindir rakyat.
“Mungkin disebabkan kehendak politik itu sendiri akibat dari jiwa mereka yang tidak mendalami apa yang diperlukan rakyat akhirnya terbentuklah polisi-polisi yang nak diketuk baru jalan.
“Rakyat desak-desak moratorium baru nak jalan…kenapa ini berlaku, bukankah ia perlu dilakukan secara progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program SkopMG bertajuk Sudah Cukupkan Kerajaan Bantu Rakyat? yang disiarkan secara langsung malam ini.
Antara panelis yang terlibat dalam program tersebut Ketua Penerangan Armada, Ashraf Mustaqim Badrul Munir, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Mengulas lanjut, Ahmad Syukri berkata, tindakan yang dibuat oleh rakyat bukanlah satu perkara main-main yang boleh dipersendakan untuk dijadikan bahan ketawa.
Sebaliknya, ia perkara itu adalah bukti bahawa rakyat ketika ini sedang sengsara selepas lebih setahun terpaksa berdepan pandemik yang tidak berkesudahan.
Ujarnya, alasan yang diberikan oleh pemimpin terbabit terhadap apa yang dibuat oleh rakyat menunjukkan kepincangan dalam sistem pentadbiran negara sekarang ini.
Tambahnya, dalam keadaan yang sukar rakyat dibantu dengan pemberian bakul makanan namun semua itu bukanlah penyelesai kepada masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.
“Bukan semua mengharapkan bakul makanan. Memang boleh dikatakan semua parti politik buat benda macam ini.
“Dari segi bendera putih, kalau kita lihat apa jenis bantuan yang rakyat nak mereka sebenarnya nakkan satu penyelesaian yang tuntas.
“Kerajaan harus beri wang saku kepada rakyat, tapi janganlah pemberian itu sekadar meleapas batuk ditangga. ia perlu meneyelsaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette