Penduduk Pangsapuri Petaling Perdana memasang bendera putih di hadapan rumah mereka bagi membolehkan orang awam tampil menyalurkan bantuan susulan berdepan dengan kesusahan kesan pandemik Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan juga wakil-wakil rakyat disaran memanfaatkan laman-laman web yang dibangunkan oleh gerakan bendera putih bagi menolong rakyat yang memerlukan bantuan.

Naib Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Fatin Fariza Abdul Halim berkata, gerakan bendera putih adalah usaha murni bagi menunjukkan kuasa rakyat dalam bersatu padu bagi membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, semua pihak sepatutnya menghargai langkah yang diambil oleh gerakan tersebut kerana telah memudahkan usaha murni bagi membantu golongan berkenaan.

“Jentera perlu digerakkan untuk pergi sahkan keadaan rakyat yang mengibarkan bendera putih ini. Betul ke mereka memerlukan bantuan. Jika betul, pihak kerajaan dan wakil rakyat mempunyai peruntukan untuk membantu.

“Jentera kerajaan dan wakil rakyat juga tidak perlu lagi menanggung risiko jangkitan wabak Covid-19 yang tinggi apabila mereka turun ke lapangan untuk mencari mereka yang memerlukan…gunakan sahaja platform yang ada,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berpendapat Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) adalah satu badan yang seharusnya menggunakan platform online bendera putih itu dalam mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.

Ujarnya, mereka boleh bergerak secara lebih efisien dengan bantuan maklumat yang disalurkan daripada laman tersebut.

Tambah beliau, rakyat sudah menunjukkan apa yang boleh dilakukan dan apa yang diperlukan hanya sedikit niat yang ikhlas dan rasa ingin bantu masyarakat keliling.

“Ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan kebolehan masyarakat untuk membantu satu sama lain walaupun kita sendiri tidak berapa mampu,” katanya. – MalaysiaGazette