Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Twitter Zulhelmiismail_ @iAm_ZuL diburu ekoran tindakannya mengaibkan anggota polis, sekali gus mencemarkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tuduhan palsu dan jelik di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pengguna Twitter itu pada 15 Julai lalu telah menularkan tuduhan terhadap anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) meminta suapan.

Bagaimanapun, ciapan itu kemudiannya dipadam, ujarnya.

“Pada 16/07/2021, jam 0450 hrs, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima laporan polis berhubung satu ciapan twitter yang telah tular berhubung isu anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) meminta suapan.

“Laporan tersebut dibuat setelah sekeping gambar anggota berkenaan lengkap berpakaian uniform PDRM dimuatnaik dan dituduh meminta suapan berupa wang tunai. Ianya sekaligus telah mencemarkan imej PDRM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak mengaibkan kehormatan seseorang serta memuatnaik perkongsian palsu dan jelik di laman sosial.

Dalam pada itu, Mohd. Zaid berkata, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang turut menjalankan siasatan sekiranya wujud salah laku oleh petugas SJR.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 / 03-8911 4222. -MalaysiaGazette