SHAH ALAM – Lebih 1,500 warga asing yang terjejas dengan pandemik Covid-19 tidak terkecuali daripada mendapat bantuan barangan keperluan asas.

Namun ia bukan daripada kerajaan sebaliknya hasil inisiatif anak-anak muda Kampung Melayu Subang di sini sejak tiga bulan lalu.

Wakilnya, Khairul Azwad Zainal Abidin, 38, berkata, usaha itu dilakukan sebagai salah satu langkah bagi mengelakkan warga asing daripada terjerumus dalam kancah jenayah akibat terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Ada warga asing yang tak makan hingga tiga hari ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jika mereka tak makan, mereka akan melakukan jenayah, apa yang kita lakukan ini untuk mengelak mereka melakukan perkara itu.

“Sepanjang PKP sejak Mac tahun lalu, banyak jenayah berlaku di kampung kami, banyak kes tayar motor dan bateri kereta hilang.

“Siapa nak tanggungjawab? Kita tak boleh salahkan mereka (warga asing), kerana mereka bergerak untuk cari makan. Kita cuba jaga kebajikan mereka dengan memberi bakul makanan,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

Terdahulu Khairul Azwad menyampaikan 30 bungkus barang keperluan asas atau bakul makanan kepada 30 keluarga warga asing yang mendiami Kampung Melayu Subang.

Selain warga asing, pihaknya tidak pernah menyisihkan warga tempatan yang terputus bekalan makanan meskipun banyak pihak memberi bakul makanan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO.

“Kita tak pernah menganaktirikan anak tempatan, kami turut membantu warga tempatan yang terdesak, tapi fokus kami ialah membantu warga asing yang terjejas dan bergantung kepada pendapatan harian,” katanya.

Menariknya, inisiatif itu tidak ada birokrasi dan tidak memerlukan butiran diri sebagai syarat wajib sebelum warga asing layak menerima bantuan itu.

“Kebanyakan bila kita bertanya kepada orang politik, mereka akan minta nama, alamat dan nombor telefon, selepas itu baru mereka beri sumbangan.

“Tapi apa yang kita buat kita tak minta semua itu (butiran), kita bantu selagi kita mampu,” katanya.

Katanya lagi, bantuan bakul makanan itu diberikan kepada semua pihak yang terjejas dan memerlukan bantuan makanan tanpa mengira bangsa, agama, kaum dan fahaman politik.

“Usaha ini tiada sokongan mana-mana parti politik mahupun NGO, sebaliknya digerakkan bersama anak-anak kampung kami.

“Kita bantu mana-mana warga Malaysia atau warga asing tidak kira Melayu India, Cina, Bangladesh mahupun Indonesia, siapa pun kami cuba bantu,” katanya.

Sementara itu, salah seorang anak muda terbabit, Nur Halis Syaffiq Abd Rashid, 23, dan rakan-rakannya menggerakkan usaha itu secara sukarelawan untuk membantu semua penduduk tanpa pilih kasih.

“Saya membantu menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan, kita tak kisah siapa sahaja, orang Melayu mahupun Indonesia, semua orang kita bantu.

“Sebanyak 100 bungkusan kita akan sediakan setiap Khamis atau Jumaat untuk diberi kepada mereka yang memerlukan. Kita kongsi dana bersama untuk menyediakan bakul makanan ini mengikut kemampuan masing-masing.

“Ini kerana terlalu ramai warga asing yang memerlukan keperluan asas selain rakyat tempatan yang dapat bantuan daripada NGO dan kerajaan,” katanya.

Nur Halis Syaffiq tidak menafikan dengan inisiatif itu juga dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kadar jenayah yang meningkat setiap kali pelaksanaan PKP.

“Warga asing ini mereka ini tiada siapa nak bantu, jadi kita tergerak hati untuk membantu, daripada mereka buat jenayah, lebih baik kita tolong mereka.

“Penduduk kampung ini tak pernah pandang serong terhadap warga asing, malah kita bantu jaga kebajikan mereka, kerana mereka ini juga manusia seperti rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette