Sebanyak 12 lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu melibatkan empat negeri.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu melibatkan empat negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak bermula Isnin ini hingga 1 Ogos depan.

Jelas beliau, PKPD di Negeri Sembilan membabitkan empat lokaliti iaitu Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya dan Taman Setia Raja di Mukim Chembong serta Taman KSNS di Mukim Pedas dalam daerah Rembau.

“Kerajaan turut memutuskan melaksanakan PKPD di dua lokaliti di Pahang iaitu di Pos Iskandar, Bera dan Kuala Medang, Lipis.

“Lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD pula ialah Apartmen Seri Maju, Kota Kinabalu; Kampung Tinusa 2, Sandakan dan dua lokaliti di Tawau iaitu QL Farm Breeder, Jalan Stesen TV dan Kuarters Pekerja Onika Kuari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, PKPD juga akan dilaksanakan di dua lokaliti di Sarawak iaitu di Kampung Garung, Kuching dan Kampung Pasir Hilir daerah Lundu.

Prosedur operasi standard (SOP) semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan orang ramai maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang www.mkn.gov.my. – MalaysiaGazette