Hasni Mohammad

MUAR – Kerajaan Negeri Johor akan terus memastikan golongan  yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dibantu menerusi pelbagai inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad berkata, usaha itu akan diteruskan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir  daripada mendapat pembelaan kerajaan.

“Tidak ada yang terjejas dikecualikan menerima bantuan.

“Sesiapa yang layak, kerajaan atas kemampuan yang ada akan  bantu sebanyak mungkin selama yang boleh menerusi pakej  rangsangan ekonomi ini,” katanya selepas melawat Gobok Rakyat Johor di Kompleks Penghulu Parit Jawa, di sini, semalam.

Jelas Hasni, Gobok Rakyat Johor merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan  Johor 3.0, baru-baru ini.

Dengan peruntukan sebanyak RM8 juta itu katanya, inisiatif  tersebut dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih100,000  rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif berkenaan juga akan diselaraskan di semua Pejabat  Daerah dan menyasarkan kepada golongan asnaf, fakir, B40 dan  M40 atau yang terputus bekalan makanan dan barangan  keperluan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan bergerak seiring dengan  Kerajaan Pusat bagi mencapai matlamat Pelan PemulihanNegara (PPN) dalam menguruskan pandemik serta ekonomi.

“Dalam PPN juga sudah ditetapkan kaedah berkaitan dengan  pendemik Covid-19 ini.

“Kaedah kita menguruskan ekonomi dan juga hal. Jadi,usaha ini  akan bergerak seiring kerana soal kesihatan dan ekonomi, dua-dua hal tu penting.

“Berkenaan pandemik seperti pengurusan pemberian vaksin  berjalan lancar, manakala dalam soal ekonomi, pakej rangsangan dilaksanakan dengan cara yang berterusan,” katanya. -MalaysiaGazette