Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan mengumumkan kelonggaran pergerakan bagi penerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 selepas perayaan Hari Raya Aidiladha.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini Jawatankuasa Teknikal sedang membuat kajian terperinci berhubung perkara tersebut

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji sektor-sektor yang boleh diberi kelonggaran selepas para pekerjanya menerima dua dos vaksin.

“Kita akan beri kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin. Sekarang Jawatankuasa Tenikal sedang mengkaji secara terperinci siapa yang boleh bergerak dan dilonggarkan untuk yang mendapat dua dos vaksin.

“Malah kerajaan juga sedang mengkaji apa sektor yang boleh dilonggarkan apabila mendapat dua dos vaksin. Jadi perkara ini sedang diteliti selepas Aidiladha kita akan umumkan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program “MinDef Prihatin” di Wisma Pertahanan, hari ini

Sabtu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat MPN.

Kelonggaran itu bagi memberi faedah atau keistimewaan kepada mereka yang telah lengkap dos vaksin mereka.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sesiapa yang tidak mahu melengkapkan dos kedua mereka perlu mendapatkan perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, hanya KKM sahaja yang boleh memutuskan sama ada seseorang individu itu boleh melengkapkan dos mereka atau tidak.

“Kita kena tahu mengapa mereka tidak mahu mendapatkan vaksin penuh. Ini ditentukan oleh KKM, kerana setiap kali nak dapatkan vaksin, doktor akan memberikan penjelasan. Dia akan tanya samada ada alahan, sebab-sebab lain tidak dapat ambil vaksin.

“Sebelum tandatangan borang vaksin, semuanya telah diperjelaskan oleh doktor.

“Jadi kalau ada sahaja perkara yang berkaitan dengan kesihatan termasuk selepas dijangkiti Covid-19, ada beberapa bulan tidak boleh ambil vaksin. Ini semuanya ditentukan oleh doktor,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Eloklah bagi negeri yang sudah capai fasa 2. Contoh Kelantan ke Pahang, Terengganu dan Perak mungkin intuk nak ke Perlis mungkin tidak dibenarkan kerana kena melintasi negeri fasa 1 seperti Kedah, bukan apa bagi alasan nak ke Perlis tapi singgah ke Kedah rupanya.Rakyat Malaysia ini suka sangat culas SOP.

Comments are closed.