Seorang lelaki memaki penjual nasi lemak kerana ditegur tidak memakai pelitup muka dan melanggar SOP di ibu negara tular di media sosial telah ditahan polis.

KUALA LUMPUR – Kes seorang lelaki memaki hamun seorang  penjual nasi lemak dan pelanggan gara-gara ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di Kedai Sepetang, Jalan Desa Bakti di sini hari ini disiasat.

Polis menerima laporan sekitar jam 3.40 petang tadi dari seorang wanita berusia 22 tahun berkaitan video insiden itu yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, video tular berdurasi 29 saat itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi memaparkan seorang lelaki telah datang ke gerainya dan memaki hamun dan memarahi ibunya yang menjual nasi lemak dan seorang lagi pelanggan.

“Suspek dalam video itu dilihat memarahi dan memaki hamun ibu pengadu dan seorang pelanggan lain apabila ditegur wanita itu kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan melanggar SOP.

“Kejadian ini dirakamkan oleh seorang wanita tempatan yang lain menggunakan telefon bimbitnya sebelum berkongsi rakaman kejadian tersebut kepada pengadu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Basri, kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 17(1) PPPDPPB 2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Rentetan insiden itu, beliau menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular berkenaan dibimbangi mewujudkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang dan sedang mengesan individu tersebut.

“Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes (individu ingkar SOP) ini tampil memberi keterangan,” katanya.

Malah dalam video yang sama, individu itu dilihat menggunakan kata kesat selain turut mencabar pelanggan dan penjual supaya mengadu kepada polis mengenai tindakannya tanpa pelitup muka di tempat umum jika tidak berpuas hati terhadapnya.

Maklumat  berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast