KUALA LUMPUR – Pengekalan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+, dengan prospek stabil oleh Fitch Ratings membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran yang tidak menentu, selain prospek dan asas pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh serta lebihan akaun semasa yang stabil disokong oleh kepelbagaian pasaran dan produk eksport.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan akaun semasa sepanjang dua dekad dengan lebihan akaun semasa terbesar dicatatkan pada tahun 2020 berjumlah RM184.8 bilion, bersamaan 4.2% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kedudukan ini turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar, serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77.0% daripada KDNK pada akhir Mac 2021.

Faktor-faktor ini disokong oleh polisi tukaran asing fleksibel, yang memperkuatkan keupayaan Malaysia berhadapan dengan kejutan luaran.

Tambahan pula, pengekalan Malaysia dalam index FTSE Russell’s World Government Bond Index merupakan satu testimoni ke atas pasaran modal yang maju serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan.

Menurut beliau, melangkah ke hadapan, agenda nasional akan tertumpu kepada digitalisasi dan penggunaan teknologi serta menambah baik prospek dan daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Di samping itu, dalam jangka sederhana, kerajaan berpegang teguh untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara berterusan yang akan membolehkan Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi serta dapat menjana pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Tambah beliau, kerajaan kekal komited dalam memastikan kemapanan fiskal negara dan konsolidasi fiskal jangka sederhana.

Dalam tempoh sedekad yang lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7% (2009) daripada KDNK kepada 3.4% (2019).

Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat yang bertujuan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil negara, Kerajaan akan dapat meneruskan konsolidasi fiskal setelah negara pulih daripada pandemik ini.

Ini akan dapat mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi.

Secara keseluruhannya, keutamaan kerajaan adalah melindungi kehidupan daripada ancaman Covid-19, selain memastikan prospek pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dalam jangka sederhana dan panjang, disokong oleh Pelan Pemulihan Negara serta pengurusan kewangan yang berhemah.

Kerajaan akan terus melaksanakan respons secara strategik, proaktif dan berkesan dalam suasana Covid-19 yang mencabar ini, di samping meminimumkan kesan ekonomi yang berkekalan akibat pandemik. – MalaysiaGazette