Gelagat seorang pesakit Covid-19 membuat panggilan video kepada ahli keluarganya sempena Hari Raya Aidiladha di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

SERDANG – Tepat pukul 8.15 pagi, bergema takbir raya di Dewan D, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu 2.0, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC Bersepadu MAEPS 2.0).

Ia dibaca bersama antara para petugas PKRC dan dalam kalangan pesakit Covid-19 yang beragama Islam

Meskipun tidak dapat meraikan Hari Raya Aidiladha dengan keluarga tercinta namun pesakit tidak melepaskan peluang untuk solat sunat bersama-sama.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, wajah sedih para pesakit tidak dapat dibendung apabila mengenangkan nasib berjauhan dengan keluarga pada hari mulia.

Namun, apakan daya, rata-rata mereka redha dengan nasib kerana perlu dirawat di PKRC berkenaan.

Warga emas antara golongan yang paling beremosi kerana tidak dapat bersama anak dan cucu kesayangan.

Siti Zaleha Uda, 69, meluahkan perasaannya yang bercampur baur memikirkan keluarganya yang berisiko dijangkiti Covid-19 selepas dirinya disahkan positif baru-baru ini.

Reaksi sedih seorang pesakit Covid-19, Siti Zaleha Uda terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

Tidak cukup dengan itu, beliau sedih apabila memikirkan keadaan suaminya yang kini ‘ditidurkan’ di Hospital Universiti selepas didapati positif  baru-baru ini.

“Memang rasa sedih, suami di hospital, saya di sini, anak-anak pun di rumah. Saya sabar sajalah menunggu bila masa balik rumah. Anak beritahu ayahnya ‘ditidurkan’ selepas 12 hari dirawat di hospital,” katanya.

Bagi Samsiah Safar, 61, beliau juga tidak dapat menahan perasaan sedih apabila kali pertama terpaksa berjauhan dengan anak dan cucu-cucu selepas dibawa ke PKRC sejak lima hari lalu.

Gelagat seorang pesakit Covid-19, Samsiah Safar membuat panggilan video kepada ahli keluarga sempena Hari Raya Aidiladha di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

Namun begitu, demi kesihatan dirinya dan tidak menjangkiti orang lain, beliau perlu sentiasa berfikiran positif supaya cepat bebas daripada Covid-19.

“Sedihlah tidak pernah berpisah dengan anak-anak cucu sebelum ini, tapi tuhan sudah tentukan begini, redhalah. Kesihatan saya di sini pun semakin baik,” tambahnya.

Berbeza dengan Abdul Aziz Basri,70, yang mahu kekal positif walaupun terpaksa ‘beraya’ di PKRC Serdang hari ini.

Penyelia Penolong Pegawai Perubatan Dewan DG PKRC MAEPS, Engku Mohd Nazri Engku Mansor (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pesakit Covid-19, Abdul Aziz Basri selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

Baginya, pesakit Covid-19 di pusat kuarantin itu tidak perlu sedih kerana petugas Kementerian Kesihatan Malaysia amat memahami dan sentiasa berusaha untuk menceriakan mereka.

“Makanan di sini bagus, perkhidmatan sangat bagus. Saya rasa seronok pula daripada di kampung,” katanya.

Menurutnya, walalupun petugas KKM terpaksa bertugas pada hari raya sepanjang dua tahun ini namun mereka para petugas KKM mampu mengawal emosi mereka.

Bahkan petugas barisan hadapan itu, mampu untuk menggembirakan semua pesakit dan memberi layanan yang baik, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast