Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof beramah mesra bersama orang ramai yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin ketika melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Seri Seroja, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2021.

PUTRAJAYA – Seramai 1,033 waris mangsa pandemik sudah menerima Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 yang membabitkan pembayaran berjumlah RM5.17 juta setakat 19 Julai lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, jumlah waris itu merupakan sebahagian daripada kes kematian yang sudah mencecah 7,440 kes di negara ini sehingga semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof bercakap kepada media selepas hadir melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketika di Dewan Seri Seroja, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2021.

Beliau menjelaskan, Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 itu disalurkan dalam usaha meringankan beban yang ditanggung waris mangsa wabak itu.

“Saya menyeru kepada waris mangsa Covid-19 untuk datang membuat tuntutan kerana proses permohonan sentiasa berjalan.

“Cuma ada maklumat tidak lengkap dan kalau boleh sekiranta mohon hari ini, esok kita hendak beri. Kerajaan mahu kurang beban waris kerana mungkin yang meninggal dunia adalah ketua isi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Seri Seroja di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof beramah mesra bersama orang ramai yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin ketika melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Seri Seroja, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2021.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan menyeru waris mangsa Covid-19 agar menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di nombor talian yang disediakan agar bantuan dapat dihulurkan secepat mungkin,

Sementara itu, Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 adalah bantuan sekali bayar sehingga kadar maksimum RM5,000 diberikan kepada waris individu yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Syarat kelayakan untuk menerima bantuan itu antaranya adalah kematian warganegara berkaitan Covid-19 hanya disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hanya seorang waris yang layak menerima bantuan khas itu dan jika terdapat lebih satu permohonan daripada waris, NADMA hanya akan mempertimbangkan permohonan pertama.

Tabung Covid-19 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac tahun lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas akibat wabak itu.

Tabung terbabit dikendalikan oleh NADMA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast