Real Madrid bersedia menjual semula Hazard kepada Chelsea musim ini berikutan prestasi hambar pemain itu.

LONDON – Chelsea sedang mempertimbangkan idea untuk membawa balik Eden Hazard ke Stamford Bridge dari Real Madrid musim ini.

Laporan di La Liga mendakwa bintang sayap Belgium itu mengharungi musim yang tidak menentu di Sepanyol sejak menyertai skuad Los Blancos dari Chelsea dengan nilai perpindahan berjumlah £88 juta (RM510.6 juta).

Bekas pemain Chelsea itu hanya beraksi sebanyak 21 kali untuk the Galacticos musim lalu sebelum dilanda krisis kecederaan.

Secara keseluruhannya, dia hanya menjaringkan lima gol untuk Real Madrid selama dua musim lalu di Sepanyol walaupun pernah menjaringkan angka gol dua digit selama tujuh musim semasa bersama the Blues.

Berita di Sepanyol melaporkan terdapat usaha untuk membawa pulang pemain itu ke Stamford Bridge dan Los Blancos juga dikatakan bersedia untuk melepaskan pemain dengan harga £51 juta (RM295.9 juta) musim ini.

Laporan sama menambah, Los Blancos mahu memutuskan hubungan dengan Hazard sambil mengakui berdepan situasi sukar untuk memujuk Chelsea kendalian Thomas Tuchel membayar yuran RM295.9 juta untuk pemain itu ketika kelab EPL itu mengejar khidmat Erling Haaland bernilai £170 juta (RM986.7 juta).

Hazard bukan sekadar mengecewakan penyokong Real Madrid dengan aksi hambar dan rekod kecergasan tidak menentu, dia juga dikecam penyokong sendiri kerana berjenaka selepas tewas kepada Chelsea dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Walaupun pemain itu kemudian meminta maaf dalam  Instagram peribadinya atas alasan tidak berniat berbuat demikian, penyokong Madrid tidak mahu menerima alasan itu dan meminta kelab menjual pemain itu.-MalaysiaGazette