Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M. Yusop (tiga kanan) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (tiga kiri) bergambar selepas menyusun agihan zakat sebanyak RM100,000 berupa bakul makanan di bawah inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang akan diedarkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Peranan Polis daerah Petaling Jaya dalam menghulurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas akibat Covid-19 ketika ini melangkaui batasan tanpa bergantung sepenuhnya kepada Op Bantu yang dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri sahaja.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ini kerana polis turut menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dalam menghulurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas.

Setakat ini IPD menerima 348 permohonan individu terjejas pandemik menerusi panggilan hotline dan aplikasi WhatsApp dan 150 daripada mereka diagihkan bakul makanan menerusi Lembaga Zakat Selangor.

Manakala 198 lagi nama akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling untuk diuruskan pengagihan bantuan.

“Sejak Op Bantu dilancarkan oleh KDN 6 Julai lalu, IPD PJ berjaya mendekati dan menghulurkan bakul makanan kepada 300 individu yang terkesan secara terus dan juga menerusi JKM.

“Bantuan seumpama ini memastikan mereka tidak bergelut untuk mendapatkan keperluan asas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima 150 kotak makanan kering dari Lembaga Zakat Selangor menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M.Yusop untuk diagihkan kepada penduduk terkesan di daerah tersebut oleh Polis PJ.

Tambah Mohamad Fakhrudin, kerjasama Polis PJ dengan Lembaga Zakat Selangor sudah bermula sejak 4 Julai lalu dan bantuan pertama disalurkan pada 5 Julai lalu kepada 50 individu pertama yang dikenalpasti.

Menurutnya 150 lagi kotak makanan yang diterima ini akan disalurkan menerusi pegawai dan anggota polis daerah berkenaan selepas ini.

Selain lembaga zakat negeri, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan Yayasan Kemajuan Ekonomi Islam Malaysia (Yakeim) dan syarikat sukarela yang menyumbangkan bantuan kotak makanan untuk disalurkan kepada penduduk terkesan.

“Selain inisiatif kerjasama dua pihak ini, ada juga kalangan pegawai anggota polis kami yang terlibat rondaan pencegahan jenayah mengambil inisiatif mengesan penduduk yang mengangkat bendera putih dan tenat memerlukan bantuan makanan.

“Mereka mengeluaran duit dari kocek sendiri dan membeli serta mengagihkan makanan kepada yang terjajas atas inisiatif sendiri selain bantuan yang disalurkan menerusi NGO dan badan agensi kerajaan negeri dan pusat.

“Insya Allah setakat ini respons masyarakat daerah ini sangat baik untuk pengagihan bantuan bakul makanan yang dimulakan PDRM dan juga badan NGO serta lembaga zakat negeri

“Saya menjangkakan angka ini akan terus meningkatkan dan bantuan akan terus disalurkan kepada yang memerlukan di daerah ini tanpa masalah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette