Mayat mangsa ditemui di Sungai Kuala Pai, Kuala Nerang, Kedah hari ini.

KUALA NERANG – Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuala Pai di sini kira-kira 25 hari lalu ditemui hari ini.

Mayat mangsa dipercayai Mohd Shahril Hamid Yaacob, 30, ditemui dalam keadaan rangka oleh penduduk setempat pada jam 3.35 petang tadi sebelum menghubungi pihak polis.

Mulkiaman.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, pihaknya meminta bantuan pihak bomba untuk mengeluarkan rangka manusia dalam sungai tersebut.

Operasi mengeluarkan rangka itu agak sukar memandangkan ia hanya rangka selain arus deras.

“Kita tidak menolak kemungkinan rangka yang dijumpai itu merupakan mangsa lemas yang dilaporkan terjatuh dalam Sungai Kuala Pai pada 27 Jun lalu.

“Rangka manusia itu ditemui kira-kira 300 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

“Rangka itu berjaya dibawa ke darat pada jam 5 petang dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses selanjutnya,” katanya menerusi sidang media secara online hari ini.

Selain pihak bomba, agensi lain turut terlibat dalam operasi tersebut antaranya polis Marin, Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Tambah Mulkiaman, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Kuala Pai di sini.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai, namun tiada saksi awam yang berada di lokasi itu ketika kejadian berlaku.

Hanya terdapat sebuah motosikal berhampiran lokasi kejadian dan operasi mencari mangsa dilakukan oleh pihak bomba. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast