Pekerja sektor laut dan pelabuhan hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin semasa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang sempena Hari Pelaut Sedunia 2021 ketika di Dewan Serbaguna Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman mengesahkan menerima empat laporan polis berkaitan dakwaan wujudnya aktiviti penipuan penjualan vaksin Covid-19 kepada orang awam.

Turut diterima satu laporan polis berkenaan penambahan jumlah penerima vaksin Covid-18 di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga melebihi jumlah vaksin yang dibekalkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Kamarudin Md Din dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan berkaitan kes-kes tersebut.

“Kesemua mereka telah dibebas dengan jaminan polis sementara siasaatan dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, satu daripada siasatan kes telah selesai dan Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan setelah siasatan mendapati tidak bukti serta keterangan yang mencukupi untuk menuduh suspek-suspek terlibat manakala tiga lagi masih dalam siasatan.

“Pihak polis menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan siasatan kes-kes ini. Selaku agensi penguatkuasan undang-undang pihak polis sentiasa komited memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata, polis juga mengesan kewujudan modus operandi baharu menggunakan isu penjualan vaksin Covid-19 untuk memperdaya mangsa.

Katanya, mangsa akan dihubungi sindiket yang menyamar kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan memaklumkan mangsa akan dkenakan tindakan kerana didapati telah menjuak vaksin Covid-19 secara dalam talian di laman Facebook.

“Mangsa yang panik dengan dakwaan tersebut kemudiannya akan menuruti semua arahan yang diberikan sehingga akhirmya membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh sindiket,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 36 laporan polis telah diterima berkaitan kes-kes seumpama itu melibatkan kerugian RM54,500.

Kamarudin turut menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket yang dilihat mengambil kesempatan dengan memanipulasi isu semasa untuk mengaut keuntungan dengan cara yang salah.

Pihak polis mengalu-alukan orang ramai menghubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 0326101559 sekiranya mempunyai keraguan mahupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersial. – Malaysiagazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.