Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah clinical trials National Healthy Research Volunteer Register National Pharmaceutical Regulatory Agency NPRA
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 119 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dikenal pasti hasil kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 106 kes varian baharu itu adalah Delta (B.1.617.2), 10 kes varian Beta (B.1.351) dan tiga kes varian Alpha (B.1.1.7).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 429 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah yang dikesan, 409 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah Variant of Interest (VOI).

“Sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 206 kes varian Beta, 189 kes varian Delta, dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R0 /RT berdasarkan data terkini pada 22 Julai, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07 dan negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Terengganu dengan nilai RT 1.44.

“Manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah, Kedah (1.22), Putrajaya (1.22), Johor (1.20), Sabah (1.19), Pulau Pinang (1.18), Kelantan (1.16), Pahang (1.15), Selangor (1.14), Melaka (1.11), Kuala Lumpur (1.09), Negeri Sembilan (1.06), Sarawak (1.04), dan Perak (1.02),” katanya. – MalaysiaGazette