25 warga Bangladesh didakwa langgar SOP dengan rai Hari Raya Aidiladha di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM125,000 terhadap 25 lelaki warga Bangladesh selepas didapati bersalah melanggar prosedur standard operasi (SOP) dengan berkumpul pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Setiap seorang warga Bangladesh itu didenda RM5,000 selepas kesemua mereka mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah. 

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang berusia lingkungan 23 hingga 41 tahun itu didakwa berhimpun bersama orang lain bagi maksud sosial di dalam sebuah rumah di Taman Desa Mutiara di Batu Maung pada pukul 9 malam pada Selasa lalu.

Masing-masing didenda RM5,000.


Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) P.U (A) 293/2021.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh dan sekiranya gagal membayar denda, mereka akan penjara selama dua bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid.

Manakala 21 tertuduh diwakili peguam menerusi majikan mereka, Muhammad Arif Shaharuddin.  – MalaysiaGazette