KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu di mana dua daripadanya  bekas Yang Di Pertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Menurut sumber, bekas YDP yang kini memegang jawatan Pegawai Daerah (DO) dan masing-masing berusia 47 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberikan keterangan lewat malam tadi.

Seorang kontraktor yang terlibat juga turut ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa merasuah kedua-dua suspek bagi membolot projek-projek yang ditawarkan di dua majlis perbandaran yang diketuai kedua-dua YDP tersebut.

Kontraktor terbabit berusia 42 tahun dipercayai mengawal 16 syarikat yang didaftarkan atas nama saudara dan kakitangannya bagi mendapatkan projek-projek di dua Majlis Perbandaran tersebut.

Dianggarkan projek-projek yang dimonopoli mencecah jutaan ringgit sejak tahun 2018 hingga 2021.

Sumber menjelaskan bagi setiap projek yang diperolehi, kedua-dua bekas YDP tersebut menerima habuan rasuah sebanyak lima peratus dari nilai projek.

Selain itu, sumber menjelaskan, pelbagai bentuk suapan rasuah telah diberikan kepada kedua-dua suspek termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai berjumlah RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan.

Beberapa siri serbuan telah dibuat di sekitar Selangor sejak awal pagi semalam.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 17 (a) Akta SPRM.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Ketiga-tiga yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini dan diluluskan permohonan reman oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sebanyak enam hari bermula hari ini hingga 28 Julai ini. – MalaysiaGazette